Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan melahirkan kebimbangan susulan sebanyak 1,328 kluster tempat kerja dilaporkan dengan 147,040 individu dikesan positif Covid-19 dalam tempoh dua minggu ini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga semalam, jumlah kes positif bersamaan kadar positiviti sebanyak 23.6 peratus, iaitu semua yang positif dikesan selepas saringan ke atas 624,246 individu.
Katanya, ini jelas menunjukkan kluster tempat kerja terus menjadi menyumbang kepada pertambahan kluster di negara ini biar pun kes mingguan menunjukkan penurunan.
“Kebanyakan kes positif kluster tempat kerja ini terdiri daripada warga asing iaitu 100,086 kes bersamaan 68 peratus berbanding warga tempatan iaitu 46,954 kes bersamaan 32 peratus.
“Jika dikategorikan mengikut sektor, pengilangan melaporkan jumlah kes tertinggi iaitu 95,156 kes melibatkan 639 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, lima kluster tempat kerja yang masih aktif dengan kadar jangkitan tinggi iaitu Jalan Tiga Salak Tinggi di Selangor bagi subkategori pengilangan melibatkan pekerja sebuah kilang di Kawasan Perusahaan Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang dengan 873 kes.
Kluster kedua katanya, Industri Senawang di Negeri Sembilan dan Melaka melibatkan pekerja sebuah kilang di Senawang Industrial Estate, Seremban dalam subkategori pengilangan dengan 752 kes.
“Ketiga, Industri Batu Berendam di Melaka iaitu sub kategori pengilangan yang melibatkan pekerja sebuah kilang di Zon Perindustrian Bebas Batu Berendam, Melaka Tengah dengan 641 kes.
“Keempat, Jalan Padang Tembak di Kelantan dan Terengganu dalam subkategori pengilangan yang melibatkan pekerja sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa 2, Jalan Padang Tembak, Kota Bharu iaitu 598 kes dikesan.
Tambahnya, kluster kelima, Tok Has di Terengganu dalam subkategori perkhidmatan yang melibatkan pekerja sebuah kedai makan di Jalan Sebarang Jertih, Kampung Tok Has, Jerteh dengan 541 kes.
Katanya, melihat kepada peningkatan kluster tempat kerja, tahap kesedaran majikan dan pekerja perlu dipertingkatkan melibatkan kepentingan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP).
“Majikan dan pekerja perlu menyedari kepatuhan kepada garis panduan adalah untuk kebaikan mereka dalam memastikan penularan Covid-19 dapat dikekang manakala segelintir masyarakat yang hanya mengambil berat berkenaan pematuhan SOP apabila terdapat penguatkuasaan undang-undang.
“Kelekaan inilah yang banyak mengundang kepada peningkatan kes Covid-19 terutamanya di tempat kerja,” katanya.