KUALA LUMPUR: Lapan lokaliti di Sabah akan dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD selama 14 hari bermula 17 hingga 30 Jun ini susulan peningkatan jangkitan Covid-19.
Beliau berkata, di Sabah PKPD membabitkan PPR Taman Ehsan, Kudat dan Kampung Taun Gusi Peninting, Kota Belud, selepas masing-masing mencatatkan lapan kes positif Covid-19.
PKPD di negeri itu turut melibatkan dua lokaliti di Kalabakan iaitu di Kampung Rancangan dan Kampung Kijang Merotai yang mana 19 individu dikesan positif.
Turut dikenakan PKPD ialah Kampung Tanjung Batu Tengah dan Taman Semarak Megah di Tawau apabila mencatat 31 kes positif Covid-19.
Manakala, di Kota Kinabalu melibatkan dua lokaliti iaitu Kampung Rampayan dan Kampung Kionsom Kecil dengan 23 kes positif keseluruhannya.
“Kementerian Kesihatan sudah melaksanakan 21 saringan di Kampung Rampayan, 10 daripadanya dikesan positif Covid-19 manakala di Kampung Kionsom Kecil 13 kes positif direkodkan hasil saringan ke atas 36 individu di lokaliti tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail turut memaklumkan PKPD di Kampung Simpangan, Tuaran, Sabah, yang sepatutnya tamat 16 Jun ini dilanjutkan bermula 17 hingga 30 Jun.
Sementara itu, PKPD di tiga lokaliti di Kota Belud dijadualkan tamat esok bermula 11.59 malam.
Manakala, PKPD di Lorong Taman Utama 5, 6, 7 dan 8, Taman Utama, Sandakan, Kampung Sepagaya Hulu, Silam, Lahad Datu dan Kampung Sugud, Penampang yang semuanya di Sabah ditamatkan hari ini bermula 11.59 malam.
Mukim Kota Setar, Kedah, Kampung Pagi, Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang, Rumah Panjang Wun anak Ering, Tanjung Manis, Kampung Bunut, Mukah, Sarawak tamat esok bermula 11.59 malam.
Penamatan PKPD di tiga Perkampungan Batu 9 Lekir, Mukim Lekir, Manjung, Perak bermula 11.59 malam ini, begitu juga dengan PKPD di Felda Tersang 1, 2 dan 3, Mukim Batu Talam, Raub, Pahang.
Dalam pada itu, Ismail berkata semalam polis menahan 854 individu atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu 819 dikompaun dan 34 direman.
“Antara kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka, rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan di premis, gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis, tiada penjarakan fizikal, tidak patuh arahan kawalan pergerakan, membawa penumpang berlebihan, aktiviti pusat hiburan dan premis gagal patuh arahan,” katanya.