Artini Ali Taugan.
KOTA KINABALU: Wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Sabah mengecam kenyataan Peguam, Marcel Jude yang disifatkan sebagai sangat biadab.
Dalam satu penghujahan mahkamah, peguam berkenaan membandingkan acara ratu cantik Unduk Ngadau dengan “persembahan lembu eksotik” (exotic cattle show).
Beliau membangkitkan penghujahan berkenaan di Mahkamah dalam kes cabul Phillip Among, seorang ahli politik dari Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (STAR).
Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Sabah Artini Ali Taugan berkata, sebagai seorang peguam, Marcel sepatutnya lebih bijak dalam berkata-kata apatah lagi berkait sensiviti kaum dan agama.
“Dan sebagai anak Sabah, beliau sepatutnya memahami sifat majmuk masyarakat Sabah yang menghormati adat pelbagai suku yang ada di negeri ini.,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut dokumen yang tular di media sosial yang ditulis dalam bahasa Inggeris, Marcel berkata, “Pertandingan Unduk Ngadau (UNK) bukan tentang wanita. Ia hanya pertandingan, ia tidak merangkumi semua wanita, tanpa mengira apakah bakat, kemahiran, pendidikan dan kebolehan mereka, tetapi tidak lebih sebagai persembahan lembu eksotik dan hampir seperti acara lelong. Tiada apa yang hebat tentang wanita-wanita ini dan ada lebih ramai wanita hebat di luar tetapi mereka tidak dapat menjadi peserta. UNK adalah satu imbauan kembali zaman lalu di mana wanita hanya objek nafsu yang peragakan dalam sebuah persembahan”.
“Kenyataan ini jelas merupakan penghinaan kepada acara kebudayaan serta bersifat seksis.,” kata Artini.
Katanya, Unduk Ngadau merupakan acara kebudayaan yang diadakan sempena pesta Kaamatan atau pesta menuai dan merupakan salah satu identiti negeri di bawah bayu ini.
“Kenyataan biadab ini satu penghinaan kepada suku KadazanDusun dan penghinaan kepada semangat (roh) Huminudon,” katanya
Marcel mewakili Philip Among atas empat pertuduhan mencabul peserta Unduk Ngadau dan satu pertuduhan sama terhadap seorang lagi wanita.