Datuk Seri Panglima Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Pada hari ini, jumlah kes positif Covid-19 di Sabah mencatatkan penurunan sebanyak 43 kes iaitu daripada 378 kes kelmarin (12 Jun 2021) kepada 335 kes
(13 Jun 2021).
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, bagaimanapun, dua kes kematian direkodkan hari ini iaitu satu kes di daerah Tawau dan satu kes Lahad Datu.
Katanya, 12 daerah mencatatkan peningkatan kes hari ini dengan lima daerah mencatatkan peningkatan kes pada julat satu angka, manakala tujuh lagi daerah lain mencatatkan peningkatan kes pada julat dua angka iaitu Tuaran 35 kes (+23), Putatan 16 kes (+14), Beaufort 18 kes (+13), Kinabatangan 12 kes (+12), Lahad Datu 32 kes (+10), Tongod 10 kes (+10).
Menurutnya, jumlah kes positif Covid-19 di daerah Kota Kinabalu hari ini adalah 49 kes (+17) dengan pertambahan kes daripada Kluster Ocean Blue sebanyak enam kes menjadikan kumulatif kes meningkat kepada 157 kes daripada 185 anak kapal yang terbabit dalam Kapal KD Mahawangsa. Dua daerah lain yang mencatatkan kes baharu pada hari ini iaitu Kota Belud (19 kes) dan Semporna lima kes kekal sebagaimana jumlah kes kelmarin.
Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah berkata, lapan daerah di Negeri Sabah mencatatkan penurunan kes. Empat daerah mencapai penurunan kes dengan julat satu angka, manakala empat daerah lagi menunjukkan penurunan pada julat dua angka iaitu Kudat (-56), Papar (-31), Sandakan (-29) dan Tawau (-19).
“Terdapat tiga kluster baru direkodkan hari ini iaitu Kluster Eioz Selatan melibatkan Kota Kinabalu, Tuaran, Penampang. Kluster Kg Kebayau; Kota Belud dan Keningau serta Kluster Jalan Agaseh; Lahad Datu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Dalam pada itu katanya, SOP Aktiviti Masjid dan Surau Negeri Sabah berkuatkuasa 15 Jun 2021 sehingga pada tarikh yang dimaklumkan kelak adalah seperti berikut; pelaksanaan solat fardhu lima (5) waktu secara berjemaah adalah dibenarkan dengan bilangan 12 orang AJK masjid/surau sahaja.
“Pelaksanaan solat Jumaat di masjid/surau adalah dibenarkan dengan bilangan 12 orang sahaja dalam kalangan AJK masjid/surau sahaja. Orang Islam yang tidak dapat melaksanakan solat Jumaat wajib menunaikan solat zuhur pada tempoh tersebut di rumah atau kediaman masing-masing.
“Pelaksanaan solat jenazah di masjid/surau adalah dibenarkan dengan bilangan 12 orang sahaja kecuali yang dilaksanakan selepas solat Jumaat adalah mengikut bilangan ahli Jumaat sahaja yang dibenarkan.
“Pelaksanaan solat hajat di masjid/surau adalah dibenarkan dengan bilangan 12 orang AJK masjid/surau sahaja.
“Aktiviti di masjid/surau seperti kuliah, majlis ilmu, akad nikah, majlis kenduri dan
seumpamanya adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP,” katanya.
Sementara itu katanya, Kerajaan Negeri bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Batu 3.5 Jalan Apas (Kiri), Tawau. Taman Puri Warisan, Kota Kinabalu dan dua lokaliti di Tuaran iaitu Taman Telipok Jaya, Kampung Penimbawan serta Kampung Lebak Moyoh, Kota Belud dari 15 Jun hingga 28 Jun 2021 selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.
Katanya, Kerajaan Negeri juga bersetuju melanjutkan PKPD di Taman Pelangi, Semporna sehingga 28 Jun 2021 Kampung Tanjung Kapor, Kudat.