Datuk Hazani Ghazali
KOTA KINABALU: Polis Sabah terus waspada dan fokus terhadap strategi mereka untuk memastikan Sabah kekal selamat di tengah-tengah pandemik Covid-19.
Laporan Harian Ekspres, Sambil mengekalkan strategi semasa iaitu memastikan kepatuhan orang awam kepada prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali (gambar) berkata mereka juga memantau untuk memastikan aspek-aspek keselamatan dikekalkan.
“Kami bekerja sama penuh dengan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah dan rakan-rakan sejawatan kami di Filipina,” katanya ketika ditanya mengenai kemajuan usaha menjejaki baki ahli-ahli atau sel kumpulan pengganas Abu Sayyaf di Sabah.
“Kami tidak menafikan bahawa di sana (Filipina) ada pertempuran dan sebagainya, dan wujud kemungkinan berlaku cubaan menyusup masuk ke Sabah. Tapi kami mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Hazani berkata demikian selepas satu pertemuan selama 45 minit dengan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor di Ibu Pejabat Polis Negeri di Kapayan, di sini, Khamis lalu.
Pertemuan itu adalah untuk memberi taklimat kepada Ketua Menteri mengenai situasi keselamatan Sabah secara umum dan juga langkah-langkah yang diambil untuk memastikan SOP dipatuhi.
“Saya sudah maklumkan kepadanya (Hajiji) bahawa polis Sabah komited untuk memastikan SOP dipatuhi setiap masa dan kami akan menguatkuasakan sepenuhnya SOP yang ditetapkan.
“Beliau (Hajiji) berpuas hati dengan kerja-kerja yang dilakukan polis dan agensi-agensi lain,” katanya.
Hazani turut menafikan bahawa ramai pegawai polis dan anggota di Labuan dijangkiti Covid-19.
“Tidak. Itu hanyalah khabar angin. Ketika ini, hanya 15 pegawai dan anggota positif Covid-19 di seluruh Sabah termasuk Labuan,” katanya.
Menurut Hazani, polis merekodkan hampir 100 kes positif membabitkan pegawai dan anggota selepas Pilihan Raya Negeri dan kira-kira 150 diletakkan di bawah kuarantin.
“Tahun lepas, kira-kira 1,000 pegawai dan anggota polis yang disyaki dijangkiti Covid-19 terpaksa diletakkan di bawah kuarantin tapi itu tidak melemahkan komitmen kami dalam menjalankan tugas,” katanya.
Beliau juga berkata kira-kira 85 peratus pasukan polis Sabah telah menerima dos pertama dan kedua vaksin mereka setakat ini.
Mengenai SOP yang berbeza di peringkat Persekutuan dan Negeri, Hazani berkata mereka (polis Sabah) sepadan dengan SOP Persekutuan dan Negeri agar sesuai.
“Kami ada mesyuarat harian dengan Jawatankuasa Pusat Kawalan Operasi Bencana Sabah, jadi tiada masalah dalam melaksanakan tugas kami tanpa mengira SOP berbeza di peringkat negeri dan persekutuan,” katanya.
Beliau juga berkata tiada keperluan bagi perkhidmatan perlu untuk mendapatkan surat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
“Apa yang mereka perlukan hanyalah surat daripada majikan masing-masing. Saya fikir jurucakap Covid-19 Sabah Datuk Seri Masidi Manjun juga telah menjelaskan perkara ini dalam kenyataannya sebelum ini,” katanya.
Hazani juga mendedahkan bahawa ada individu-individu yang menyalahgunakan surat pekerjaan mereka untuk pulang kampung, khususnya ketika cuti hujung minggu.
“Saya ingin mengingatkan bahawa surat pekerjaan adalah untuk perkara-perkara rasmi sahaja dan tidak sepatutnya disalahgunakan untuk merentas daerah bagi perkara-perkara tidak rasmi,” katanya.