DSP Yussof Zaki Yaacob
BEAUFORT: Lapan lagi kediaman sementara yang menjadi tempat persembunyian kumpulan pengganas Abu Sayyaf di belakang Taman Sri Arjuna dimusnahkan oleh pihak berkuasa penguatkuasaan pada Jumaat.
Menurut Harian Ekspres, Ketua Polis Beaufort DSP Yussof Zaki Yaacob berkata pasukan yang merobohkan kediaman-kediaman sementara itu, membabitkan 40 pegawai penguatkuasa dan anggota dari pasukan polis, Rela, pejabat daerah Beaufort, Jabatan Alam Sekitar dan jabatan-jabatan berkaitan lain, membakar rumah-rumah itu dalam satu operasi khas, pada Jumaat.
Menurutnya, gerakan perobohan itu bermula pada jam 9 pagi hingga 11 pagi di belakang Taman Seri Arjuna yang memerlukan mereka berjalan kira-kira 15 minit untuk sampai ke lokasi melalui laluan sukar.
“Semuanya berjalan lancar,” katanya.
Menurut Yussof Zaki, kerja-kerja meroboh itu adalah yang kedua sejak mereka melakukan operasi sama berhampiran taman perumahan itu tiga minggu lalu di mana mereka memusnahkan enam kediaman yang kumpulan itu gunakan sebagai tempat persembunyian.
“Lebih banyak lagi akan dibakar dalam masa terdekat. Itulah tempat persembunyian mereka selepas semua pengganas ditangkap dan beberapa orang dibunuh oleh polis,” katanya kepada Harian Ekspres, di sini, pada Jumaat.
Pada 11 Mei, akhbar ini melaporkan bahawa lapan yang disyaki militan Abu Sayyaf, termasuk dua yang dikehendaki Kerajaan Filipina, adalah antara 37 orang yang ditangkap dalam satu operasi di sebuah paya bakau berhampiran Taman Sri Arjuna, di sini, 8 Mei lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali, dilaporkan sebagai berkata mereka terdiri daripada lapan lelaki, lapan wanita dan 21 kanak-kanak yang dipercayai telah berada di Sabah lebih setahun.
Pada 17 Mei, dilaporkan bahawa lima anggota Abu Sayyaf, salah seorang berada dalam senarai individu paling dikehendaki oleh Kerajaan Filipina, maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di satu kawasan hutan bakau pada jam 3 pagi.
Pada masa sama, Yussof Zaki memberi jaminan kepada orang awam bahawa Beaufort kekal selamat dan aman dari sebarang ancaman.
“Ada ketikanya, orang sengaja mencetuskan rasa takut dengan mengatakan bahawa Beaufort tidak lagi selamat dengan kehadiran Abu Sayyaf dan menularkan perkara itu di Facebook.
“Hakikatnya, Beaufort sentiasa aman dan selamat, malah pengganas yang bersembunyi tidak dapat bertahan lama dengan kecekapan pasukan keselamatan kita.
“Kami berharap tiada siapa akan menularkan gerakan ini dari persepsi yang salah tapi jika ia tular dan mencetuskan kebimbangan serta ketakutan orang ramai, kami akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.