Datuk Seri Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) di Sabah dilanjutkan hingga 28 Jun 2021 setelah penilaian dibuat oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (COVID-19) Sabah yang bermesyuarat pada 12 Jun 2021 jam 3.00 petang tadi.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor mengumumkan ini dalam kenyataan medianya tadi.
Katanya, keputusan ini diambil sebagai langkah membendung peningkatan jangkitan Covid-19 di negeri ini.
Semalam Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan PKP 3.0 disambung untuk tempoh dua minggu berkuat kuasa pada 15 Jun sehingga 28 Jun 2021.
Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membentang dan mencadangkan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri pada hari yang sama supaya PKP 3.0 dilanjutkan untuk tempoh 2 minggu lagi.
Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira jumlah kes harian masih tinggi melebihi 5,000 sehari dengan purata kes baharu sehingga semalam ialah 6,871, katanya dalam kenyataan medianya.
Katanya. senarai positif/negatif dan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi setiap aktiviti perkilangan, perniagaan dan industri masih kekal seperti mana diumumkan sebelum ini.
Mengenai senarai tersebut, katanya boleh dirujuk kepada laman sesawang kementerian berkaitan dan maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my
“Memandangkan semua senarai positif/negatif dan SOP adalah sama seperti sebelum ini, maka saya berharap tiada lagi kekeliruan dalam pelaksanaan penguatkuasaan SOP.
“Saya tidak mahu rakyat terkesan dengan salah tafsiran berhubung SOP di lapangan oleh penguat kuasa,” katanya.