KOTA KINABALU:Pada hari ini, jumlah kes positif Covid-19 di Sabah mencatatkan peningkatan sebanyak 69 kes iaitu daripada 309 kes kelmarin (11 Jun 2021) kepada 378 kes
(12 Jun 2021).
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, lima kes kematian direkodkan hari ini iaitu satu kes di daerah Tawau, satu kes Semporna, satu kes Kota Kinabalu, satu kes Lahad Datu dan satu kes lagi di Putatan.
“Daripada 378 kes jangkitan baharu hari ini, 167 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 130 kes adalah daripada saringan kluster, 31 kes adalah daripada saringan bergejala, 36 kes daripada saringan bersasar dan 14 kes adalah daripada lain-lain kes.
“12 daerah mencatatkan peningkatan kes hari ini dengan tujuh daerah mencatatkan peningkatan kes pada julat satu angka, manakala lima lagi daerah lain mencatatkan peningkatan kes pada julat dua angka iaitu Kudat 75 kes (+48), Papar 58 kes (+39), Sandakan 38 kes (+28) , Telupid 15 kes (+14) dan Sipitang 13 kes (+11). Daerah Kota Kinabalu kekal catatan kes baharu sebagaimana hari kelmarin iaitu dengan 32 kes,” katanya pada kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, catatan kes positif Covid-19 yang agak tinggi pada hari ini adalah disebabkan langkah memperhebat Saringan Bersasar secara “House To House” dan tidak hanya tertumpu
kepada Saringan Kontak Rapat oleh pihak KKM di lokaliti-lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Oleh yang demikian jelasnya, angka kes positif Covid-19 dijangka akan melonjak tinggi dalam beberapa hari sehingga gerakan saringan secara besar-besaran selesai dijalankan.
“Terdapat tiga kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu Kluster Ambar Park Tawau, Kluster Indah Nabawan dan Kluster Kg Baru Sipitang,” katanya.
Menurutnya, Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Indah, Nabawan dan dua lokaliti di Tawau iaitu Taman Kinabutan Ria serta Simpang Inderasabah, Kampung Manggis Kuala Penyu, Kampung Baru (SFI) Sipitang dan dua lokaliti di Kota Belud iaitu Kampung Tawadakan serta Kampung Kota Bungan berkuatkuasa 14 Jun sehingga 27 Jun 2021 selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.