PUTRAJAYA: Malaysia tidak akan menghantar jemaah bagi menunaikan ibadat haji tahun ini ekoran kerajaan Arab Saudi memutuskan ibadah haji bagi Musim Haji 1442H dihadkan hanya untuk warganegaranya serta warganegara lain yang sudah berada dalam negara itu saja.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Timbalan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Abdelfattah Sulaiman Mashat, sebentar tadi.
Katanya, keputusan kerajaan Arab Saudi itu disebabkan situasi semasa pandemik COVID-19 yang membimbangkan di seluruh dunia.
“Sebentar tadi saya menerima panggilan telefon daripada Dr Abdelfattah berkenaan keputusan Kerajaan Arab Saudi bagi pembabitan jemaah haji daripada negara luar bagi Musim Haji 1442H,” katanya dalam kenyataan, sebentar tadi.