KUALA LUMPUR: “Cukup cukuplah)” – itu jawapan ringkas Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin mengenai cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memimpin sebuah pasukan khas ala Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) untuk menerajui negara.
“Saya tanya dia (Dr Mahathir), kalau dia tak jadi berhenti, tak jadilah permintaan itu. Jadi kalau kau dah berhenti (daripada) jadi PM yang lebih besar,” kata Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri.
Hamzah berkata demikian apabila diminta mengulas cadangan penubuhan sebuah badan ala MAGERAN oleh Mahathir apabila beliau menghadapi Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara Khamis lalu.
Dalam perjumpaan dengan baginda, Mahathir turut menawarkan diri untuk memimpin badan itu yang disifatkannya perlu kerana, apa yang dilihat beliau sebagai kegagalan Perikatan Nasional mengekang wabak Covid-19 dan beberapa krisis yang menyusul.
Mahathir semalam memberitahu FMT bahawa majlis yang dicadangkan beliau itu akan dipandu oleh pakar-pakar dalam bidang berkenaan dan boleh memastikan negara tidak dibelenggui politik kepartian dalam menguruskan wabak berkenaan.
Beliau juga berkata tidak semestinya beliau mengetuai badan ala MAGERAN yang dicadangkan itu, tetapi sesiapa sahaja yang berwibawa dan terbukti mempunyai pengalaman mengatasi krisis di masa lalu boleh dilantik untuk jawatan itu.
Bagaimanapun, cadangan Mahathir itu ditolak bulat-bulat oleh banyak parti politik, termasuk PAS yang menjadi sekutu utama Bersatu dalam kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin.
Mahathir keluar Bersatu dan meletak jawatan sebagai perdana menteri tahun lalu, susulan “Langkah Sheraton” yang menyebabkan kejatuhan Pakatan Harapan selepas memegang kuasa selama 22 bulan.