KUALA LUMPUR: Universiti Utara Malaysia (UUM) merupakan antara empat lokasi di Kedah dan Sabah yang dikenakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, di Sabah PKPD dikenakan di Kampung Kadazan, Tawau; dua perkampungan dalam daerah Kota Kinabalu dan Taman Villa Felca Nambazan, Penampang, Sabah.
Di Kedah, PKPD akan dilaksanakan di Kampus Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah, selepas mendapati berlaku peningkatan kes apabila sebanyak 18 kes positif dilaporkan hasil ujian saringan ke atas 208 penghuni universiti itu dalam tempoh seminggu.
Kementerian Kesihatan (KKM) juga mengesan berlaku penularan kes dalam kalangan pelajar dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti berkenaan.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampus UUM, berkuat kuasa 13 Jun hingga 26 Jun 2021.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk menyekat pergerakan keluar masuk bagi memastikan tiada penyebaran jangkitan keluar ke kampus serta memudahkan KKM membuat pemantauan ke atas pelajar sedang menjalani kuarantin,” katanya dalam kenyataan harian pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.