Datuk Dr. Mistirine Radin
KOTA KINABALU: Lima belas sekolah di Sabah mencapai semua calon (100%) layak mendapat sijil SPM pada tahun 2020.
Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Dr. Mistirine Radin berkata, 90.42 peratus calon di negeri ini layak mendapat sijil SPM, iaitu calon yang sekurang-kurangnya mendapat gred E dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah, pada tahun 2020, berbanding dengan 87.79 peratus pada 2019.
Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 2.53 peratus, katanya dalam kenyataan media hari ini.
Katanya, seramai 241 (0.72%) orang calon berjaya dengan cemerlang memperolehi Gred A (A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran yang diambil pada tahun 2020, berbanding 198 (0.58%) calon pada tahun 2019, iaitu peningkatan sebanyak 0.13 peratus.
“Sebanyak 66 daripada 83 (79.51%) mata pelajaran telah diambil oleh calon-calon peperiksaan SPM tahun 2020 di negeri ini dan daripada jumlah ini, 32 mata pelajaran mencapai 100 peratus lulus.
“Daripada tujuh mata pelajaran teras, lima menunjukkan peningkatan dari segi kualiti pada tahun 2020, manakala sebanyak 21 mata pelajaran elektif pula telah menunjukkan peningkatan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) dan 29 mata pelajaran elektif menunjukkan penurunan GPMP,” katanya.
Secara keseluruhan katanya, Sabah mencatatkan peningkatan pencapaian calon SPM pada tahun 2020 dari segi kualiti yang diukur melalui pencapaian Gred Purata Negeri (GPN).
“GPN SPM tahun 2020 adalah 5.34 berbanding dengan 5.38 pada tahun 2019 iaitu peningkatan sebanyak 0.04 mata,” katanya.
Katanya, 211 buah sekolah terlibat peperiksaan SPM pada tahun 2020, di mana 60 buah daripadanya terletak di kawasan bandar dengan pencapaian lulus sebanyak 91.12 peratus, manakala 151 lagi terletak di luar bandar yang mencapai kadar lulus sebanyak 90.59 peratus.
“Ini menunjukkan jurang perbezaan peratus lulus antara sekolah bandar dan sekolah luar bandar semakin mengecil iaitu 0.53 peratus berbanding denga 1.34 peratus pada tahun 2019,” tambahnya.
Seramai 33,454 orang calon sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan telah menduduki peperiksaan SPM pada tahun lalu, berbanding 33,541 orang calon pada tahun 2019, di 314 pusat peperiksaan yang telah disediakan.
Dr. Mistirine mengucapkan syabas dan tahniah kepada calon-calon dan sekolah sambil berharap agar mereka dapat meneruskan budaya kerja cemerlang dalam apa juga bidang yang akan diceburi agar dapat menyumbang kepada pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan seterusnya membangunkan negara ke tahap yang lebih tinggi.
“Saya juga berbangga kerana para guru telah Berjaya mendidik dan membimbing murid sehingga mereka memperolehi keputusan peperiksaan yang cemerlang sekalipun kita berhadapan dengan cabaran pandemic Covid-19,” katanya.