KUALA LUMPUR: Presiden PBS Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengambil masa kira-kira sejam di Istana Negara hari ini.
Kenderaan yang membawa Presiden PBS itu dilihat beredar pada 3.24 petang selepas memasuki Istana Negara kira-kira 2.16 petang.
Maximus menjadi pemimpin parti politik ke-11 menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Difahamkan beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) membincangkan pelbagai isu, termasuk masalah rakyat dan penularan Covid-19 di Sabah.
Terdahulu Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden MIC, S A Vigneswaran turut menghadap Sultan Abdullah pagi tadi.
Sebelum ini beberapa pemimpin utama parti, termasuk Bersatu, PKR, DAP, Amanah, MCA, Pejuang, PAS dan Warisan berkongsi pandangan mereka dengan Agong.
Sesi menghadap itu dipercayai diadakan menjelang Perbincangan Khas Majlis Raja-raja Melayu pada 16 Jun untuk membincangkan keadaan darurat dan usaha memerangi wabak Covid-19.