PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membentang dan mencadangkan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri hari ini supaya PKP 3.0 dilanjutkan untuk tempoh 2 minggu lagi.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri berkata sehubungan dengan itu, PKP 3.0 disambung untuk tempoh dua minggu berkuat kuasa pada 15 Jun sehingga 28 Jun 2021.
Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira jumlah kes harian masih tinggi melebihi 5,000 sehari dengan purata kes baharu sehingga semalam ialah 6,871, katanya dalam kenyataan media petang ini.
Katanya. senarai positif/negatif dan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi setiap aktiviti perkilangan, perniagaan dan industri masih kekal seperti mana diumumkan sebelum ini.
Mengenai senarai tersebut, katanya boleh dirujuk kepada laman sesawang kementerian berkaitan dan maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my
“Memandangkan semua senarai positif/negatif dan SOP adalah sama seperti sebelum ini, maka saya berharap tiada lagi kekeliruan dalam pelaksanaan penguatkuasaan SOP.
“Saya tidak mahu rakyat terkesan dengan salah tafsiran berhubung SOP
di lapangan oleh penguat kuasa,” katanya.