Datuk Dr. Hajah Tarsiah TZ Taman
Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) Datuk Dr. Hajah Tarsiah TZ Taman menyeru kepada para ibu tunggal yang belum mendaftarkan diri di sistem digital electronik Women Information (DEWI) atau dulu dikenali sebagai WISE untuk mendaftar atau mengemaskini maklumat diri di sistem berkenaan yang dikendalikan oleh Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah.
Ini bagi memudahkan Kerajaan mencapai mereka bagi tujuan pembangunan ibu tunggal, katanya dalam kenyataan media hari ini.
Katanya, MPWS menyambut baik keprihatinan Kerajaan Negeri dibawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Hj Noor, Ketua Menteri Sabah, atas inisiatif mengumumkan Bantuan Sabah Prihati (BSP) 3.0 Covid-19 berjumlah RM154,835,981 Juta.
“Saya difahamkan bantuan tersebut membabitkan bantuan tunai one-off RM300 dan bakul makanan bagi mengurangkan bebanan yang dihadapi oleh masyarakat dalam situasi pandemik yang masih menular ketika ini.
“Inisiatif Kerajaan ini memang tepat pada masanya memandangkan situasi ekonomi rakyat yang agak kurang memberangsangkan dan amat memerlukan sokongan kewangan pada ketika ini.
“Tambahan lagi terdapat beberapa kawasan atau penempatan mulai dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Di perketatkan (PKPD) mahupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyukarkan komuniti di kawasan ini mencari pendapatan bagi menyara kehidupan seharian,” katanya.
Selain Itu, bagi pihak MPWS dan juga JHEWA, beliau juga mengalu-alukan wanita asal Sabah dalam bidang pengurusan dan profesional turut mendaftarkan diri dalam sistem ini untuk tujuan data maklumat kepimpinan wanita Sabah.
Jelasnya, MPWS berperanan sebagai badan dan penasihat kepada Kerajaan Negeri untuk membantu membangunkan sosio-ekonomi wanita di Sabah khususnya.
“Saya mewakili wanita di Sabah ingin mengucapkan terima kasih atas BSP 3.0 Covid-19’ ini terutama bantuan kepada ibu tunggal bantuan seramai 4,909 ibu tunggal bantuan sebanyak RM300 one-off berjumlah RM1,472,700 daripada Kerajaan melalui pimpinan Ketua Menteri Sabah.
“Saya juga yakin melalui bantuan tersebut ianya akan membantu meringankan bebanan yang dihadapi masyarakat ketika wabak pandemik ini.
“Perkara ini membuktikan bahawa Kerajaan di bawah pimpinan Ketua Menteri Sabah tidak meminggirkan golongan rakyat yang berdepan dengan masalah kos sara hidup lebih-lebih lagi dalam menghadapi pandemik Covid-19,” katanya.