KOTA KINABALU: Majlis Belia Sabah (MBS) meminta Kerajaan mempercepatkan usaha penambahbaikan komunikasi digital negara di bawah rancangan Malaysia ke-12.
Naib Presidennya Kevin Lo berkata, ini kerana Sabah mempunyai cabaran capaian internet yang kritikal di dalam perlaksanaan PdPR dan juga pekerjaan daripada rumah
Beliau berkata demikian dalam mengalu-alukan usaha Kerajaan Negeri untuk mengagihkan 10,000 komputer riba menerusi Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) kepada pelajar tingkatan 5 dan 6 di Sabah.
Kevin berkata, pemberian itu akan memberi manfaat kepada sasaran berfokus selaras dengan arus perubahan pendidikan dan pembelajaran dalam keadaan norma baharu.
“Keprihatinan Kerajaan Negeri juga dapat meringankan beban ibubapa khususnya yang kurang berkemampuan dalam menyediakan peralatan pembelajaran efektif kepada anak-anak mereka.
“Terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana memperkenalkan Jalinan Digital Negara (JENDELA) susulan negara menghadapi pandemik COVID-19 ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, MBS turut meyambut baik program Felo Belia Sabah yang diperkenalkan Kerajaan Negeri dalam memberikan peluang kepada golongan muda terlibat secara langsung dalam tadbir urus.