Lt. Muda Maritim ( B ) Awil Kamsari
KOTA KINABALU: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) merakamkan terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor dan Kerajaan Negeri di atas keprihatinan and sikap peduli rakyat, seperti yang ditunjukkan melalui Bantuan Sabah Prihatin (BSP) 3.0.
Seitausaha PVATM Sabah Lt. Muda Maritim (B) Awil Kamsari, yang mewakili warga PVATM berkata, ini khususnya yang melibatkan ahli PVATM yang berjumlah lebih-kurang 6,000 orang merangkumi 19 cawangan di seluruh negeri ini,
“Veteran ATM juga tidak terkecuali dalam pemberian skim bantuan (BSP 3/0) ini yang mana akan diselaraskan di bawah Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat dan juga Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am.
“Seramai lebih kurang 2,000 veteran ATM telah tersenarai dalam skim bantuan tersebut yang tergolong dalam kategori miskin tegar dan kurang upaya serta warga emas,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Katanya, PVATM amat menghargai usaha dan komitmen pimpinan kerajaan yang diterajui oleh Gabungan Parti Sabah (GRS), yang sentiasa bersedia untuk mendengar rintihan dan keluhan veteran serta akan memastikan segala bantuan dan sumbangan kerajaan agar dapat disalurkan kepada warganya,
Tambahnya, ini secara tidak langsung membuktikan bahawa jasa dan pengorbanan veteran mendapat pengiktirafan dan sentiasa dingati dalam memastikan kedaulatan, keselamatan dan kemakmuran negara dapat dikecapi sehinggalah pada hari ini.
“PVATM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan, pihak swasta, perseorangan, pihak media massa dan elektronik dan kepada semua pihak yang sentiasa menyokong dan menghulurkan bantuan dan sumbangan dalam pelbagai bentuk dalam memastikan kebajikan ahli-ahlinya terbela,” katanya.
Kepada veteran di luar sana yang masih belum berdaftar dan menjadi ahli PVATM boleh menghubungi beliau di talian 013-8515137 ataupun boleh berhubung dengan Pegawai Tadbir Negeri Losminol Dorod di talian 088-234644 ataupun hadir terus ke pejabat PVATM Negeri di Tingkat 2 Wisma Muis ataupun cawangan di daerah masing-masing.