Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin
KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah melumpuhkan satu sindiket pemalsuan pelbagai dokumen dengan penangkapan sembilan warganegara Filipina dan merampas kira-kira 200 keping dokumen palsu dalam operasi yang dijalankan pada 5 dan 6 Jun lalu.
Menurut Harian Ekspres, operasi dipanggil ‘Ops Serkap’ itu diketuai Timbalan Penolong Pengarah Kanan, Hasanal Ag. Hashim, bersama-sama 22 pegawai penguatkuasa JIM menyaksikan penahanan di tiga lokasi berbeza di Kg Likas, Kampung Air dan Inanam.
Pengarahnya, Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin dalam satu sidang media pada Rabu berkata suspek-suspek yang ditahan terdiri daripada enam lelaki dan tiga wanita, berumur antara 20 dan 76 tahun.
Menurutnya, penahanan itu membabitkan individu-individu yang terlibat di pelbagai peringkat termasuk dalang, orang tengah, penghantar serta individu yang terlibat memproses dokumen-dokumen di rumah itu.
“Satu pasangan suami isteri dipercayai merupakan sebahagian dari sindiket tempatan ini tapi bukan semua mereka mempunyai kaitan keluarga, kebanyakannya sekadar terlibat dalam menjalankan sindiket itu.
“Kami masih di peringkat mengesan, menentusah dan menjalankan perisikan untuk mengenal pasti sama ada sindiket itu mempunyai kaitan dengan rangkaian sindiket lebih besar.
“Operasi itu telah berlanjutan untuk tempoh yang lama dan kami memantau mereka untuk mendapatkan maklumat mengenai aktiviti ini dan kami juga melakukan banyak kerja perisikan serta menyamar sebagai pelanggan untuk membolehkan kami melakukan penahanan berskala besar ini,” katanya.
Muhamad Sade berkata antara barangan yang dirampas ialah empat kenderaan pacuan empat roda, sebuah sedan serta pelbagai dokumen rasmi agensi-agensi kerajaan.
Menurutnya, antara dokumen rasmi Kerajaan yang dipalsukan ialah 90 keping surat pengesahan dokumen sementara, surat-surat pengesahan penempatan unit dan resit pengenalan sementara dari Jabatan Ketua Menteri (JKM) Sabah.
“Selain itu, terdapat 22 MyKad milik individu-individu lain dan sijil-sijil lahir Jabatan Pendaftaran Sabah yang dipalsukan serta 13 keping permit masuk IMM5 dan pas lawatan JIM Sabah IMM13 yang turut dipalsukan.
“Sebanyak 140 gambar saiz pasport dipercayai milik bakal-bakal pelanggan yang sedang dan akan diproses juga dirampas,” katanya.
Menurut Muhamad Sade, perisikan mendapati bahawa dokumen-dokumen palsu itu dijual antara RM150 dan RM500 bergantung kepada jenis cetakan yang digunakan dan jenis dokumen yang dipalsukan.
Beliau berkata perisikan yang dilakukan membabitkan permohonan dokumen IMM13 mendapati bahawa dokumen itu dikenakan caj RM150.
“Ia bergantung kepada jenis dokumen dan kesukaran membuat dokumen itu. Jika dokumen yang dikeluarkan adalah dokumen imigresen yang mempunyai ciri-ciri keselamatan tinggi, harganya lebih mahal.
“Ia juga bergantung kepada kualiti dokumen yang dikeluarkan. Lebih tinggi kualiti pemalsuannya, lebih mahal harganya.
“Adalah dipercayai bahawa harga RM500 adalah caj yang diminta untuk pemalsuan membabitkan jenis-jenis kad seperti MyKad dan sebagainya,” katanya.
Muhamad Sade berkata semua suspek telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan akan didakwa di bawah Seksyen 55D bagi pemalsuan atau pindaan pengendorsan atau dokumen, Seksyen 55(1)(j) bagi kesalahan menggunakan dokumen yang dikeluarkan kepada orang lain, Seksyen 56 (1)(I) kerana menggunakan dokumen yang dikeluarkan kepada orang lain, Seksyen 55 (1)(j) kerana bersubahat melakukan kesalahan di bawah akta ini dan Seksyen 6 (1)(c) kerana tidak memiliki pas yang sah.
“Hukuman bagi kesalahan-kesalahan di atas adalah mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) yang membawa hukuman denda tidak kurang RM30,000 dan penjara tidak kurang lima tahun tapi tidak tidak lebih 10 tahun serta tidak melebihi enam sebatan.
“Sementara itu, dokumen palsu semua suspek warga asing akan dibatalkan dan mereka akan dihantar pulang ke negara asal selepas menjalani hukuman,” katanya.
Ketika ditanya jika aktiviti itu membabitkan orang dalam dari jabatan-jabatan berkaitan, Muhamad Sade berkata hasil siasatan setakat ini mendapati tiada orang dalam terlibat.
“Individu-individu yang ditahan adalah pemegang kad IMM13 serta kad lain, jadi sindiket ini membuat pemalsuan berdasarkan kad yang mereka ada.
“Kami tidak temui pembabitan orang dalam,” katanya.
Muhamad Sade berkata penahanan itu dibuat di rumah mereka masing-masing dan mereka mempunyai modus operandi mereka sendiri.
“Biasanya lokasi mereka sering berubah. Mereka agak bijak kerana apabila mereka merasakan tempat mereka telah dikenal pasti, mereka akan berpindah ke lokasi lain.
“Tapi buat masa ini, mereka tidak menggunakan premis perniagaan. Mereka membuatnya di rumah masing-masing dengan komputer dan mesin cetak.
Muhamad Sade juga memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang aktiviti jenayah pemalsuan dokumen kerajaan kepada JIM.
Menurutnya, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti haram disasarkan untuk memperdaya dan menggalakkan orang asing untuk tinggal di negeri ini tanpa dokumen perjalanan sah.
DE