Yazid…..perluaskan pemberian komputer riba.
KENINGAU:Persatuan Kebudayaan Dan kebajikan Ektnik Kujau Gana Nabai Sabah ( KGNS ) mencadangkan agar Kerajaan memperluaskan bantuan tersebut kepada pelajar dari Tingkatan 1 hingga 4 bagi sekolah menengah dan juga murid sekolah rendah tahap dua dari tahun 4 hingga 6.
Timbalan Presidennya Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles berkata, ini penting kerana dalam tempoh penularan pandemik Covid-19 ini rata-rata pembelajaran dijalankan secara dalam talian terutama semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Dengan adanya pemberian komputer riba secara menyeluruh kepada pelajar dapat memantapkan lagi pembelajaran dalam talian yang dijalankan di rumah pelajar masing-masing” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu Yazid yang merupakan bekas guru besar menyambut baik dan menyokong pemberian 10,000 komputer riba kepada pelajar Tingkatan 5 dan 6 di negeri ini.
Beliau berkata, pemberian komputer riba daripada Kerajaan Negeri ini adalah satu langkah yang baik.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri khususnya Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor atas pemberian bantuan komputer riba yang akan memberi maafaat kepada pelajar,” katanya.
Beliau berharap para pelajar yang menerima bantuan ini dapat menggunakannya dan menjaga keselamatan komputer tersebut.
Katanya, Kerajaan memberi dengan ikhlas, maka para pelajar menerimanya dengan rasa bertanggungjawab dan menggunakan komputer tersebut untuk mendapat ilmu pengetahuan.
“Bantuan kerajaan ini sudah pasti dapat membantu pembelajaran yang berkesan kepada pelajar yang terbabit” jelasnya.