Datuk Seri Sr. Safar Untong
KOTA KINABALU: Pengurusan Tertinggi di Perkhidmatan Awam Negeri Sabah memutuskan penjawat awam negeri Gred 29 hingga Gred Turus turut menyumbang kepada Tabung Bencana Negeri (Covid-19) Sabah melalui pengurangan sebahagian dari Imbuhan Tetap Keraian (ITK) atau Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) untuk tempoh dua bulan iaitu Jun dan Julai 2021.
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr. Safar Untong berkata, ini selaras dengan pengumuman sumbangan penjawat awam oleh Ketua Setiausaha Negara pada 1 Jun 2021 dan tanda keprihatinan penjawat awam negeri kepada rakyat Sabah yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Katanya, pelaksanaan sumbangan ini sama seperti penjawat awam persekutuan iaitu potongan 50% daripada ITK untuk Gred Turus I hingga Turus III, 50% daripada ITK untuk Gred JUSA A, 20% daripada ITK untuk Gred JUSA B, 10% daripada ITK untuk Gred JUSA C, 5% daripada ITK/ITKA untuk Gred 44 hingga 54 dan RM10.00 daripada ITKA untuk Gred 29 hingga 41.
Sumbangan ini tidak melibatkan kakitangan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri, katanya dalam kenyataan media hari ini.