Afiya menunjukan keputusan 9A yang diperolehi pada SPM 2020 sambil bapanya, Adzahar memegang foto arwah isterinya yang disimpan pada telefon bimbitnya di rumah mereka di kg Paya Dalam Melaka.
MELAKA: Tidak seperti pelajar lain melonjak kegirangan ketika menerima keputusan cemerlang 9A Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 hari ini, Afiya Adzahar diselubungi kesedihan kerana tidak dapat meraikannya bersama ibu tercinta yang meninggal dunia kira-kira dua minggu lalu akibat COVID-19.
Pelajar aliran Sains Sekolah Menengah Sains Tuanku Aishah Rohani, Seremban Negeri Sembilan itu merasa terkilan kerana tidak dapat berkongsi kegembiraan itu bersama ibu, Rosliwati Rosdi, meninggalkan dia dan bapanya, Adzahar Abu Bakar yang mengidap penyakit barah pangkal hidung sejak lebih 10 tahun lalu.
“Mama yang sepatutnya paling gembira dan layak meraikan kejayaan Afiya hari ini kerana mama paling banyak berkorban serta menjadi penguat semangat saya ketika tertekan menduduki peperiksaan sebelum ini.
“Tetapi mama meninggal dunia lebih awal dan tidak sempat menatap keputusan peperiksaan SPM ini bersama-sama saya dan ayah, namun saya yakin, mama pasti gembira dan bangga dengan kejayaan ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Paya Dalam.
Anak bongsu dari enam beradik itu berkata, pada awalnya dia tidak yakin akan mampu meraih keputusan cemerlang itu memandangkan dia agak tertekan ketika membuat persediaan peperiksaan SPM malah hanya mampu memperolehi B untuk subjek Matematik Tambahan pada peperiksaan percubaan SPM.
“Walaupun tinggal di asrama dan jauh dari rumah, ibu pasti datang melawat Afiya pada setiap minggu tanpa gagal namun sejak diadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama enam bulan, kami tidak boleh berjumpa, ketika itu Afiya merasa amat tertekan.
“Tetapi ibu sentiasa memberi semangat dan kalau saya kata ‘tidak boleh’, ibu pasti berkata `boleh’, sehinggakan ketika mahu mendapatkan keputusan SPM, masih terngiang-ngiang suara ibu mengatakan saya boleh, ketika itu saya amat mengharapkan ibu ada di sebelah saya bersama ayah,” katanya dengan nada sebak.
Air mata gadis itu juga tidak dapat dibendung kerana dia amat berharap dapat berkongsi kegembiraan dan bersama-sama meraikan kejayaan memperolehi keputusan cemerlang SPM hari ini.
“Walaupun ibu sibuk mengurus ayah dan berulang-alik ke hospital kerana ibu juga tidak sihat kerana mengidap barah kepala namun ibu tidak pernah hilang tumpuan pada pelajaran Afiya,” katanya.
Katanya, dia merancang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di universiti tempatan sebagai memenuhi impian ibunya yang mahu dia menjadi seorang doktor satu hari nanti.
Sementara itu, Adzahar, 52, berkata, kematian isterinya memberi kesan kepada Afiya memandangkan keduanya amat rapat malah Afiya juga tidak yakin dengan kemampuannya mendapat keputusan cemerlang.
“Malah sebelum keputusan SPM diumumkan hari ini, Afiya kelihatan muram dan tidak banyak bercakap dan sebagai ayah, saya perlu memainkan peranan seperti yang dilakukan oleh isteri sebelum ini iaitu sentiasa memberi semangat kepada Afiya,” katanya.