Datuk Seri Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Sabah pada hari ini mencatatkan 233 kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 65,021 kes, dan satu kes kematian di daerah Semporna.
Jumlah pesakit Covid-19 discaj dari hospital/sembuh adalah seramai 212, menjadikan jumlah kumulatif 62,072 orang, manakala 1,915 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 531 orang di hospital dan 1,384 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam.
Bilangan pesakit dalam unit rawatan intensif (ICU) pula ialah 95 orang dan 37 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun, yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah berkata, pada hari ini, jumlah kes positif Covid-19 di Sabah mencatatkan peningkatan satu kes iaitu daripada 232 kes kelmarin (9 Jun 2021) kepada 233 kes (10 Jun 2021).
Katanya daripada 233 kes jangkitan baharu hari ini, 128 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 55 kes adalah daripada saringan kluster, 37 kes adalah daripada saringan bergejala, dua kes daripada saringan bersasar dan 11 kes adalah daripada lain-lain kes.
“Tiga belas daerah yang lain mencatatkan peningkatan kes hari ini dengan 11 daerah mencatatkan peningkatan kes pada julat satu angka, manakala dua lagi daerah lain mencatatkan peningkatan kes pada julat dua angka iaitu Sandakan 33 kes (+24) dan jumlah kes positif Covid-19 di daerah Kota Kinabalu hari ini adalah 58 kes (+19) dengan sembilan belas kes adalah kes import daripada kluster Ocean Blue yang dikesan baharu-baharu ini, serta satu kes lagi daripada Kg. Muhibbah Likas yang telah dikenakan PKPD.
“Daerah Keningau kekal catatan kes baharu sebagaimana hari kelmarin iaitu dengan satu kes,” katanya dalam kenyataan media malam ini.
Walau bagaimanapun, katanya, 12 daerah di Sabah mencatatkan penurunan kes, di mana sembilan daerah mencapai penurunan kes dengan julat satu angka, manakala tiga daerah lagi menunjukkan penurunan pada julat dua angka iaitu Tuaran (-22), Kota Belud (-18) dan Penampang (-11).
Pada hari ini, tiga daerah mencatatkan sifar kes iaitu Beluran, Tenom dan Tambunan.
“Perubahan angka bagi jangkitan baharu setiap hari di Sabah adalah tidak statik dan jumlah daerah yang mencatatkan sifar kes pula semakin berkurangan iaitu tiga daerah dengan hanya satu daerah Zon Hijau yang tinggal, menandakan bahawa kebarangkalian trend ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) di kalangan masyarakat di seluruh Sabah kecuali kawasan Zon Hijau sedang berlaku.
“Orang ramai digesa untuk kekal berada di rumah dan bagi mereka yang bekerja, hadkan pergerakan kerana kebergantungan penurunan kes atau jangkitan baharu adalah sangat dipengaruhi oleh sejauh mana komuniti mematuhi SOP Kendiri dan SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri,” katanya.
Masidi berkata terdapat satu kluster baharu direkodkan hari ini iaitu Kluster Kg Lobou – Kota Kinabalu yang mencatat tujuh kes baharu pada hari ini, hasil saringan kontak rapat dan saringan bergejala yang mempunyai epidemiologi dengan upacara keagamaan di gereja SIB Kg Lobou, Menggatal sepanjang 16 hingga 23 Mei 2021.
Kes indeks merupakan kakitangan awam, lelaki, 35, juga ahli gereja yang disahkan positif dalam saringan bergejala di Klinik Ajie Bandar Sierra, sebelum dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.
Daripada 62 sampel, 15 sampel dikesan positif, sementara 19 sampel negatif dan 28 lagi sedang menunggu keputusan ujian saringan, katanya.
Sementara itu, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Lorong Pasir Putih 1, Taman Pasir Putih Fasa 1, Putatan, setelah berlaku berlaku peningkatan kes yang ketara apabila 16 daripada 17 individu yang disaring, disahkan positif Covid-19 dengan kadar positiviti 94.12%.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan, Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan PKPD di Lorong Pasir Putih 1, Taman Pasir Putih Fasa 1, Putatan, Sabah berkuat kuasa 12 Jun sehingga 25 Jun 2021 selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan Covid-19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut,” katanya.
Masidi juga mengumumkan penamatan PKPD Kampung Sungai Langgas, Kunak, PKPD Kampung Mook di Kinarut, Papar, dan PKPD Kampung Baru Durok, Keningau.