KOTA KINABALU: Sabah masih belum sedia menerima Pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sepenuhnya, menurut Women in Sabah’s Expression (WiSE).
Hal ini demikian kerana Sabah masih jauh ketinggalan daripada segi infrakstruktur apatah lagi akses internet mahupun gajet laptop, kata mereka dalam kenyataan media hari ini.
Mereka berkata umum mengetahui Sabah mempunyai kadar kemiskinan tertinggi di negara ini.
Sabah merekodkan kadar kemiskinan sebanyak 19.5 peratus pada tahun lalu. Dalam erti kata lain, seramai 760,000 orang daripada 3.9 juta penduduk Sabah masih hidup dalam kemiskinan.
Pada 2 Disember lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri memberikan statistik ini dalam jawapan bertulis di parlimen bagi menjawab soalan Chan Ming Kai (PKR-Alor Setar).
Statistik ini jelas mencerminkan Sabah masih jauh ketinggalan dalam pelbagai aspek, kata WiSE.
Pengumuman Bantuan komputer riba kepada 10,000 pelajar Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) oleh Ketua Menteri Sabah baru-baru ini sesungguhnya tidak mencukupi untuk menampung pelajar miskin sekali gus tidak mampu mengatasi jurang pencapaian pendidikan antara pelajar khususnya antara kaya dan miskin, juga antara pelajar di bandar dan pedalaman.
“Sehubungan itu, apabila bercakap soal jurang pendidikan, jangan kita lupa isu sekolah daif khususnya di Sabah. Selepas 63 tahun merdeka, isu sekolah daif masih membelenggu negeri ini.
“Namun, di pasca pandemik Covid-19 ini, jurang pendidikan akibat ketiadaan gajet dan akses internet jauh lebih kritikal dan serius untuk ditangani segera berbanding isu sekolah daif,” kata WISE.
Pandemik ini telah menampakkan jurang pendidikan yang sedia ada di Sabah berbanding di semenanjung lebih-lebih lagi di kawasan bandar dan luar bandar, tambah mereka.
Malaysia sudah berada ditahun kedua pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan Malaysia (PKP) yang ketiga. Polisi PdPR yang jitu mengikut keperluan setiap negeri sepatutnya sudah dibincangkan dan berada pada fasa implementasi pada masa kini.
Justeru, WiSE ingin menekankan bahawa Sabah masih belum bersedia menerima PdPR sepenuhnya. Gajet dan data masih menjadi isu utama dalam PdPR.
“Kerajaan harus segera melaksanakan secara komprehensif dan bersepadu pembelajaran melalui saluran televisyen (TV). Capaian RTM ada di seluruh negara.
“Pengajaran dalam talian masih dalam peringkat inovasi ketika ini. Walaupun baik, hakikatnya sistem pendidikan khususnya di Sabah masih belum bersedia sepenuhnya,” kata mereka.
Selain mengesa pembinaan menara telekomunikasi internet dan mengesa bantuan komputer riba untuk menampung pelajar keluarga B40 yang tercicir, mereka berkata TV Pendidikan dan radio pendidikan juga merupakan pendekatan yang terbaik untuk menangani isu ini.
Dengan peningkatan kes positif COVID19, Kerajaan perlu bertindak agresif dan meningkatkan dan menyengerakan usaha vaksinasi untuk mencapai imuniti kelompok (herd immunity), kata mereka.