Datuk Seri Salleh Said Keruak
KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri, berkata soal vaksinasi seharusnya tidak dipolitikkan kerana kerajaan telah berusaha sehabis baik untuk memastikan negara mencapai mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini.
“Janganlah dipolitikkan lagi soal vaksinisasi ini kerana saya percaya kerajaan telah berusaha sehabis baik untuk memastikan kita mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini.
“Ini bukanlah soal mencari nama atau populariti semata sebaliknya kita mahu menyelamatkan rakyat dan negara. Kita masih belum menang tapi hampir pasti akan menang sekiranya semua pihak bersatu hati dalam perkara ini,” katanya di laman Facebooknya.
Katanya, semalam jumlah pesakit Covid-19 yang dirawat di ICU mencapai jumlah paling tinggi dengan 902 kes, menjadikan jumlah pesakit yang dirawat di ICU semakin bertambah walaupun kes jangkitan baharu menurun.
Manakala pesakit yang memerlukan bantuan alat pernafasan di ICU juga meningkat kepada 447 orang, sekali gus angka tertinggi setakat ini.
“Melihat kepada data semasa ini jelas menunjukkan yang jangkitan covid 19 di negara ini kian memburuk, justeru itu semua perhatian sekarang tertumpu pada usaha mendapatkan immuniti berkelompok melalui program vaksinasi kebangsaan.”
Salleh yang juga merupakan Pengerusi Kelab Backbenchers Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, ramai sudah berbicara soal perlaksanan vaksin kerajaan yang dilihat agak perlahan.
“Oleh kerana itu, banyak pandangan dan saranan yang diutarakan baik dari rakyat mahu pun pemimpin tanpa mengira fahaman politik.
“Saya beranggapan situasi ini adalah petanda baik dimana semua idea yang disalurkan akan membantu kerajaan melincinkan lagi program yang dirancang.
“Saya juga berharap kerajaan akan bersikap lebih terbuka dengan mengambil kira pandangan yang disuarakan dan mencari kaedah terbaik untuk mempercepatkan perlaksanaanya…jangan segan untuk mencontohi kaedah yang dilaksanakan di negara lain kalau ia terbukti berkesan dan cepat seperti yang berlaku di Eropah, china dan negara rantau asia,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, mentaliti rakyat juga harus dipersiapkan dalam usaha mencapai Sasaran Imuniti Kelompok (80% populasi divaksinasi).
“Kerajaan perlu mempergiatkan lagi kempen, risalah atau hebahan mengenai kebaikan dan perlunya vaksin dalam usaha mengekang covid-19. Kerjasama mungkin bole dilakukan dengan media arus perdana atau melalui “top influencer”.
“Pendek kata, Kita harus lebih giat dalam memerangi mereka yang anti vaksin ini dan perlu mempelbagaikan lagi pedekatan yang digunakan agar mesej yang dibawa sampai pada golongan sasaran,” katanya.
Seiring dengan itu, tenaga kerja untuk meningkatkan lagi jumlah pendaftaran untuk mendapatkan vaksin, tambahnya.
Mereka perlu bergerak ke kawasan tumpuan seperti hospital atau pusat saringan terutama di kawasan pendalaman bagi memastikan mereka yang layak dapat didaftarkan.
Selain itu, kerajaan perlu memikirkan kaedah yang mudah untuk rakyat mendaftar dan tidak hanya tertumpu pada secara talian sahaja, ini kerana tidak semua orang celik IT atau mendapat akses internet terutama warga emas yang tinggal di kawasan pendalaman.
“Mungkin pendaftaran secara dari rumah ke rumah seperti kaedah banci berkesan atau vaksinasi boleh dijalankan secara mobil dari kawasan ke kawasan tanpa perlu temujanji atau pendaftaran,” jelas Salleh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan itu berkata untuk memastikan program vaksinasi bejalan lancar bekalan vaksin haruslah mencukupi.
“Saya memahami kerajaan mengalami masalah dari segi mendapatkan bekalan mencukupi akibat dari dominasi negara kaya dalam pembelian terutamanya bagi vaksin yang popular seperti Pfizer. Namun saya berpendapat kerajaan perlu menyeimbangkan portfolio vaksin untuk kita memasukkan vaksin jenama lain seperti AstraZeneca dan juga daripada bukan negara Barat seperti Sinovac dari China.
“Saya percaya rakyat tidak kisah akan jenamanya asal mendapat kelulusan pihak berwajib dan terbukti selamat. Ini dibuktikan dengan pendaftaran vaksin AstraZeneca yang ditutup tidak sampai 2 jam apabila dibuka,” katanya. – tamat