Datuk Julita Majungki
KUDAT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Datuk Julita Majungki, menyokong usaha Kementerian Kerja Raya (KKR) yang akan membentangkan hala tuju serta strategi jangka panjang untuk mengurus bekalan air di negeri ini kepada Kabinet negeri
Dia berharap hala tuju serta strategi jangka panjang bekalan air negeri tersebut akan dapat menyelesaikan secara tuntas masalah bekalan air termasuk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Matunggong.
Jelasnya, kawasan Matunggong juga mengalami masalah air yang teruk walaupun mempunyai empangan air.
“Masalah (bekalan air) ini perlukan penyelesaian menyeluruh dan segera. Negeri ini bukan kawasan yang kering, jadi sepatutnya kita tidak harus mengalami masalah air. Mungkin masalah berkaitan pengurusan bekalan air yang perlu dilihat dan diperbaiki.
“Jadi saya menyokong dan mengalu-alukan usaha Kerajaan melalui KKR untuk mencari penyelesaian tuntas kepada masalah bekalan air yang melanda negeri ini,” katanya dalam kenyataan medianya pada Selasa lalu.
“Saya juga ingin memahami masalah bekalan air yang melanda kawasan saya (Matunggong) setelah sekian lama walaupun terdapat empangan dan loji penapis air dalam kawasan ini. Saya juga ingin mengetahui masalah sebenar dan cadangan konkrit untuk menyelesaikan masalah tersebut,” kata Julita, yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat.
Katanya, masalah bekalan air yang dihadapi di Matunggong menjejaskan aktiviti harian penduduk dan kelangsungan hidup mereka.
“Penyelesaian kepada masalah ini (bekalan air) harus menjadi keutamaan Kerajaan selain membaiki dan menaiktaraf jalan-jalan raya di kawasan. Sebelum kita bercakap mengenai pelaburan dan memajukan sektor ekonomi, kedua-dua perkara ini (bekalan air dan jalanraya) adalah komponen utama dalam menganjak kesejahteraan rakyat,” katanya.
Julita, yang juga Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), merujuk kepada kenyataan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang juga Menteri Kerja Raya, yang berkata kementeriannya sedang menunggu laporan lengkap daripada perunding dilantik bagi menilai, memperincikan dan menentukan langkah holistik seharusnya dilakukan dalam menangani masalah bekalan air yang sering membelenggu penduduk.
“Siap sahaja laporan ini, kami (KKR Sabah) akan membentangkannya kepada Kerajaan Sabah ke mana arah hala tuju air di di negeri ini. Ini penting kerana masalah air di Sabah semakin berlarutan,” kata Bung Moktar.
Bung Moktar berkata hala tuju bekalan air Sabah itu antara lain akan merangkumi usaha mengurangkan kadar air tanpa hasil (NRW) negeri yang kini 57 peratus disebabkan oleh beberapa faktor termasuk kes kecurian air, paip bocor dan paip sudah terlalu lama sejak zaman British lagi.
Katanya faktor-faktor itu turut menyebabkan Jabatan Air Negeri Sabah mengalami kerugian lebih RM300 juta setiap tahun selama lebih 10 tahun, dan menurutnya, langkah pengkorporatan jabatan berkenaan juga adalah perlu bagi mengurus isu bekalan air di negeri ini secara lebih efisien, sistematik dan berkesan.
Di samping itu, Bung Moktar juga berkata wujud keperluan untuk membina kolam takungan air sebagai alternatif lain dalam mengatasi kekurangan bekalan air sekiranya berlaku kerosakan Loji Rawatan Air (LRA) terutama di kawasan yang sering berdepan masalah itu.