Dr Jeffrey (tengah) bergambar ramai depan Bank Makanan Gapari
TAMBUNAN: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) telah melancarkan Gapari Foodbank di Pusat Khidmat DUN Tambunan untuk memberikan perkhidmatan dan bantuan bagi mereka yang memerlukan semasa pandemik COVID-19.
Pusat Foodbank tersebut telah dilancarkan oleh Presiden STAR merangkap Adun Tambunan, Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, dalam satu majlis sederhana pada hari ini.
“Kami telah menyediakan premis ini dengan barang-barang makanan untuk diedarkan kepada mereka yang benar-benar memerlukannya. Antara jenis-jenis makanan yang ada ialah seperti mee, beras, bumbu dan kami juga akan membeli hasil-hasil pertanian daripada petani, yang tidak dapat menjual hasil tani mereka, untuk diedarkan kepada golongan-golongan yang memerlukan bantuan makanan, “katanya.
Kitingan berkata cadangan itu pada mulanya dibincang pada Khamis lalu, dan kerja pembinaan dimulakan dengan segera setelah kos anggaran telah ditetapkan dan tempatnya dikenal pasti.
Foodbank tersebut akan dibuka dari jam 9 pagi hingga 4 petang pada hari bekerja. Walau bagaimanapun, ia juga akan membuka pintunya pada hujung minggu jika ada yang memerlukan bantuan makanan.
“Sumbangan barang-barang keperluan daripada orang-orang awam yang ingin menyumbang juga dialu-alukan. Tujuannya adalah untuk memastikan bahawa tidak ada orang-orang yang kelaparan. Sekiranya anda memerlukan bantuan makanan, datang ke sini, dan kami akan membantu anda.
“Saya tahu bahawa lokasi ini mungkin agak jauh dari kampung-kampung di mana barang-barang tersebut sangat diperlukan. Mereka tidak perlu turun ke sini jika tidak dapat melakukan perjalanan.
“Mereka hanya perlu menghubungi JPKK mereka dan berikan senarai barang-barang yang diperlukan serta jumlah orang di rumah mereka. Pihak kami akan hantar barang-barang keperluan sampai ke depan pintu rumah mereka secara percuma.
“Kami juga sedang mencari cara yang lebih senang untuk menghantar barang-barang ini, mungkin membeli sebuah lori kecil bagi memudahkan penghantaran barang keperluan,” katanya.
Walaupun tidak ada batasan terhadap jumlah barang keperluan yang buleh diambil dari Foodbank, Kitingan mengatakan bahawa dia berharap mereka yang perlukan bantuan makanan hanya mengambil apa yang mereka perlukan secara bertanggung jawab.
Foodbank ini akan beroperasi selagi PKP berkuatkuasa dan ada orang memerlukannya.
“Selepas tamat PKP, saya ingin inisiatif ini menjadi satu perkhidmatan tetap di Pusat Servis kami. Malah, kita boleh mengubahnya kepada sebuah pasar mini, yang menawarkan hasil-hasil tani tempatan dengan harga yang sangat berpatutan, ”katanya.