Mustaman
KOTA KINABALU: Dewan Pemuda Parti Islam Se Malaysia (PAS) Negeri Sabah menyambut baik keprihatinan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor mengagihkan 10,000 komputer riba kepada pelajar dalam kategori miskin tegar melalui Bantuan Ihsan Komputer (BAIK).
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Mustaman Miasin berkata, keputusan yang melibatkan 9,842 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) serta 158 dari Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) yang mengambil peperiksaan SPM, STPM dan STAM amat tepat pada masanya memandangkan situasi ekonomi rakyat yang meruncing kini.
“Saya mengambil peluang ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan GRS, yang sentiasa memikirkan kepentingan rakyat.
“Tindakan prihatin ini membuktikan kerajaan tidak mengenepikan golongan rakyat yang menghadapi ‘tekanan’ kos sara hidup lebih-lebih lagi dalam menghadapi pandemik Covid-19,” kata Mustaman.
“Langkah proaktif ini sekaligus menunjukkan Kerajaan bukan sahaja bersungguh-sungguh untuk memerangi penularan wabak COVID-19 di negeri ini, malah turut memberi perhatian yang serius terhadap isu kebajikan khususnya kepada para pelajar untuk meneruskan pembelajaran melalui kaedah PdPR dengan lebih kondusif.
“Saya yakin perkara ini semestinya akan menerima reaksi yang positif daripada rakyat umumnya khususnya penerima yang terlibat memandangkan ia menggambarkan kesungguhan kerajaan membantu meringankan beban kewangan yang ditanggung rakyat”, katanya lagi.
Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah juga menyarankan agar pemberian insentif tambahan kepada rakyat khususnya golongan B40, M40, peniaga dan pekerja ekoran pelaksanaan PKP yang menyebabkan pendapatan rakyat terjejas dilaksanakan.
“Usaha ini dilihat mampu mengurangkan beban golongan yang terjejas memandangkan rakyat yang terlibat rata-rata tidak dapat memperoleh pendapatan yang sama seperti hari-hari biasa kerana perlu duduk di rumah bagi membendung penularan Covid-19