KOTA KINABALU: Jurucakap Covid-19 Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (COVID-19) telah pun memutuskan tiada keperluan mendapatkan kelulusan daripada MITI untuk rentas daerah bagi pekerja Essential Services & Essential Goods di Sabah
Katanya, walaubagaimanapun, pekerja-pekerja ini perlu menyediakan Surat Majikan dan Surat Kebenaran Rentas Daerah daripada polis sebagaimana yang telah dinyatakan dalam Kenyataan Media bertarikh 02 Jun 2021
Kebenaran beroperasi untuk Perkhidmatan Perlu (Essential Services) dan Barangan Perlu (Essential Goods) adalah terletak di bawah kuasa Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan, jelasnya
“Kerajaan Negeri Sabah melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (Covid-19) bertanggungjawab menyediakan Tatacara Operasi Standard (SOP) Umum khas untuk Negeri Sabah yang telah diwartakan, dengan perincian bagi setiap aktiviti dan rantaiannya telah dikeluarkan oleh semua Kementerian di Negeri Sabah.
Sementara itu katanya, susulan keputusan Kerajaan Negeri yang menguatkuasakan larangan rentas daerah sebagai langkah membendung penularan Covid-19 semalam, Polis Kontinjen Sabah pada hari ini memeriksa 54,502 buah kenderaan menerusi 125 SJR di seluruh Sabah.
“Pemeriksaan lebih ketat oleh Polis menyebabkan pergerakan aliran trafik perlahan di kebanyakan jalan utama, justeru 769 buah kenderaan juga telah di arah patah balik kerana membawa penumpang melebihi had ditetapkan dan tiada surat kebenaran,” katanya.
Oleh yang demikian, masyarakat diharap dapat memahami pelaksanaan SOP serta kawalan ketat tersebut adalah mengikut prosedur yang telah diwartakan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) di bawah Akta 342, Kementerian Kesihatan Malaysia.