Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid
KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan memantau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi memastikan bekalan ke pusat tersebut adalah stabil dan tidak menjejaskan proses pemberian vaksin kepada orang awam.
Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid berkata Distribution Control Centre (DCC) akan menggunakan flagging system ke atas semua feeder yang menyalurkan bekalan ke PPV.
“Ini bermaksud, jika terdapat sebarang aktiviti pada feeder berkenaan, DCC akan mengeluarkan amaran kepada pengurusan kawasan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata setakat ini, pemantauan ke semua lokasi penyimpanan vaksin Covid-19 adalah terkawal dari aspek teknikal dan operasi dengan penyediaan pelan kontigensi yang menyeluruh termasuk penyediaan pasukan tunggu-sedia dan generator bergerak.
Dalam pada itu, beliau berkata SESB akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negreri Sabah (JKNS) untuk memastikan senarai terkini PPV diberikan kepada SESB.
“SESB juga telah mengarahkan pasukan teknikal di semua kawasan dan daerah untuk melakukan tinjauan ke setiap PPV bersama -sama dengan pemilik bangunan bagi memastikan beban elektrik di setiap bangunan termasuk pendawaian dalaman adalah dalam keadaan yang baik,” jelasnya lagi.
Abdul Nasser berkata demikian ketika mengulas kejadian gangguan bekalan yang berlaku di Dewan Kebudayaan Penampang yang merupakan salah satu PPV pada Sabtu petang.
Gangguan bekalan berlaku disebabkan oleh penutupan bekalan yang tidak dirancang berikutan kerja-kerja membaikpulih set alat pepasangan yang pecah pada talian atas 11kV.
“Kerja-kerja baikpulih tersebut harus dilaksanakan kerana feeder berkenaan telah terpelantik pada 3 Jun, 2021 pada jam 3.48 pagi sehingga 3.57 pagi dan hasil penganalisaan yang dibuat, sekiranya kejanggalan berkenaan tidak dibaiki dengan segera, gangguan yang lebih besar akan berlaku,” katanya.
Beliau menjelaskan atas faktor keselamatan, penutupan bekalan perlu dilakukan pada jam 4.00 petang untuk membolehkan anggota kerja SESB melaksanakan kerja-kerja baikpulih.
Kerja-kerja tersebut selesai pada jam 4.51 petang di mana bekalan disalurkan semula.