Hamir Zahari
LABUAN: Kerajaan Pusat digesa bertindak pantas menangani kadar jangkitan tertinggi Covid-19 di sini, yang menunjukkan seorang daripada 26 penduduk di sini positif virus itu.
Yang Dipertua PAS Labuan Hamir Zahari berkata, kadar kematian semakin meningkat dan Kerajaan perlu mengambil tindakan menyalur peruntukan mengurus prasarana dan keperluan petugas barisan hadapan (fronliner), pesakit serta keluarga yang dikuarantin.
“Semua keperluan serta dana kewangan wajib diurus melalui pengurusan krisis dan bukan lagi melalui cara biasa yang lambat dan banyak birokrasi,” katanya.
Hamir, yang juga Timbalan Yang Dipertua Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, menggesa Putrajaya agar menerbangkan vaksin terus ke Labuan bagi mempercepat imuniti kelompok.
Katanya, peruntukan kewangan menangani krisis juga wajib diluluskan melalui ‘Crisis Mode Procedure’ dan bukan lagi melalui ‘approval process’ yang panjang.
Menurutnya, pelbagai pihak di sini sudah berusaha semaksimum mungkin namun sasaran tidak akan tercapai tanpa sokongan segera dan pantas dari kerajaan pusat.
Hamir menjelaskan beberapa pihak seperti Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri dan Perbadanan Labuan sedang berusaha menangani kes Covid-19 di sini.
Menurut Hamir, pihaknya berpandangan kerajaan pusat tidak boleh lagi menunggu dan melihat keadaan, sebaliknya kementerian terbabit perlu bertindak mengikut kiraan jam, bukan hari dan bukan mingguan.
Hamir menegaskan, kedudukan Pulau Labuan yang berada dalam ‘isolation mode’ dengan perhubungan yang sangat terhad semasa PKPD ini menuntut perhatian khusus.
Hamir juga berharap sektor swasta seperti syarikat minyak dan gas di sini tampil menghulur sumbangan bagi menangani krisis dengan lebih lancar dan berkesan.