KOTA KINABALU: Pada hari ini jumlah kes positif COVID-19 di Sabah mencatatkan penurunan
sebanyak 28 kes iaitu daripada 287 kes kelmarin (04 Jun 2021) kepada 259 kes (05 Jun 2021).
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, bagaimanapun, terdapat dua kluster baru dilaporkan masing-masing di daerah Telupid dan Tawau.
Katanya, Kluster Gambaron Telupid, Sandakan adalah kluster tempat kerja yang mencatat dua (2) kes positif baharu pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 12 kes.
“Kluster indeks merupakan lelaki, 32, yang bergejala demam, batuk dan sesak nafas sejak 26 Mei 2021, sebelum disahkan positif RTK-Ag di Klinik Kesihatan Telupid pada 02 Jun 2021.
“Saringan susulan mendapati lapan (8) kes di tempat kerja (Kg Gambaron) serta sekitar daerah Telupid dan satu (1) lagi kes di Sandakan,” katanya pada satu kenyataan di sini, hari ini.
Berdasarkan siasatan katanya, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri perjumpaan sosial bersama kontak pada 22 Mei 2021 di sebuah kafe di Telupid.
Selain itu katanya, penularan kes juga disumbang oleh beberapa rakan sekerja kes indeks yang telah pulang ke kawasan berisiko tinggi (Tawau) untuk menyambut hari lebaran pada 07 hingga 16 Mei 2021.
Setakat ini katanya, seramai 136 individu telah disaring dan aktiviti saringan serta siasatan punca jangkitan masih lagi diteruskan.
Sementara itu katanya, Kluster Kg Blok 31, Tawau berlaku ekoran aktiviti kunjung-mengunjung semasa sambutan aidilfitri.
“Kluster ini mula direkodkan apabila kluster indeks, suri rumah, 71, disahkan positif COVID-19 melalui saringan Brought In Dead (BID) di Hospital Tawau pada 27 Mei 2021.
“Susulan itu, saringan kontak rapat mendapati tiga (3) kes positif pada 30 Mei 2021 dan 21 kes baharu dikesan pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 31 kes. Aktiviti pengesanan kontak dan mengenalpasti punca jangkitan sedang giat dijalankan,” tambahnya.
Dalam pada itu, Masidi berkata, selaras dengan kerajaan persekutuan, kerajaan negeri bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Apartment Taman Permata, Sandakan berkuat kuasa 07 Jun sehingga 20 Jun 2021.
Katanya, kawasan yang turut dikenakan PKPD ialah FELDA Umas 4, Kalabakan berkuat kuasa 07 Jun sehingga 20 Jun 2021.
Selain itu, tiga lokaliti di Tawau turut dikenakan PKPD iaitu Kampung Blok 31, Kampung Sentosa, Blok 5, Hilltop, dan Kampung Bukit Kukusan, Tanjung Batu bermula 07 Jun sehingga 20 Jun 2021.