KOTA KINABALU: Pada hari ini jumlah kes positif COVID-19 di Sabah mencatatkan peningkatan sebanyak 84 kes iaitu daripada 203 kes kelmarin (3 Jun 2021) kepada 287 kes (4 Jun 2021).
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, daripada 287 kes jangkitan baharu hari ini, 152 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 18 kes adalah daripada saringan kluster, 54 kes adalah daripada saringan bergejala, 52 kes daripada saringan bersasar dan 11 kes adalah daripada lain-lain kes.
Katanya, terdapat satu kluster baru dilaporkan iaitu Kluster Pulutan Nabawan. Kluster ini melibatkan seorang wanita orang kurang upaya (OKU), 56. Kluster berkenaan hari ini menambah empat lagi kes baharu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 11 kes.
“Kluster ini mula dikesan pada 31 Mei 2021 melalui saringan BID (brought in dead) di Hospital Keningau terhadap kluster indeks.
“Wanita OKU berkenaan mempunyai simptom batuk serta demam dua hari sebelum kematiannya,” katanya.
Menurutnya, kes indeks juga telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Pulutan, Sepulut pada 3 Jun 2021.
Beliau berkata, susulan kes itu, daripada 97 individu yang disaring, 10 individu disahkan positif COVID-19, manakala 86 kes lagi masih menunggu keputusan saringan pertama.
Katanya, semua kes positif telah dirujuk ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut. Berdasarkan siasatan awal, kluster indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri majlis penghormatan terakhir di Kampung Pulutan pada 30 sehingga 31 Mei 2021.