KOTA KINABALU: Kumpulan Daya-Tindakan Wanita Sabah (SAWO) akan melancarkan Program Pemerkasaan Gender dan Politik (GAP) melalui talian Zoom pada Sabtu ini (5 Jun).
Menurut kenyataan medianya hari ini, 31 orang pemimpin wanita daripada lapan daerah di Sabah yang merangkumi Pitas, Sandakan, Tawau, Ranau, Keningau, Telupid, Penampang dan Kota Kinabalu akan terlibat dalam program ini.
Mereka datang daripada pelbagai parti politik, organisasi masyarakat sivil dan kumpulan komuniti tempatan bersama-sama bergabung untuk mempelajari dan bekerja bersama memperbaiki kedudukan wanita di Sabah.
“Terbukti kepelbagaian peserta dalam Program GAP ini kerana para peserta merupakan pemimpin wanita yang datang daripada 12 parti politik iaitu; PGRS, STAR, PBS, WARISAN, UMNO, DAP, SAPP, UPKO, PBRS, MUDA, AMANAH dan PKR, manakala masyarakat sivil/NGO adalah meliputi lima, ia itu Soroptimist International Kota Kinabalu, Pergerakan Orang Wanita. Empowerment and Revolution. (POWER), PACOS Trust, PEWASA dan SAWO.
“Turut tidak ketinggalan 6 orang pemimpin tempatan yang mewakili Ketua Kumpulan Sokongan Tempatan SKTK (Telupid), Pertubuhan Rakyat (PR) Kg. Batu Lunguyan Sook, Projek Pembaikpulihan Tadahan Air Komuniti Kg. Kadong (PITAS) serta wakil komuniti Tuntutan Tanah Adat Kg Datong (PITAS),” kata SAWO.
SAWO merasakan penyertaan wanita dalam penggubalan polisi serta undang-undang adalah sangat penting, kerana pengundi wanita berasa kecewa dan marah kerana parti-parti politik tidak menghantar pemimpin wanita yang berkualiti, mereka berasa suara mereka tidak didengari dan dipedulikan.
Malahan di Sabah, tiada menteri wanita di kabinet negeri dan kurang daripada 10% ADUN wanita di dalam Dewan Undangan Negeri.
Justeru, SAWO, organisasi yang menjadi perintis dalam perjuangan hak wanita dan kesamarataan gender di Sabah, telah mencipta program ini untuk meningkatkan kualiti ketua-ketua wanita bagi mewakili populasi 50% rakyat wanita di Sabah.
SAWO berkongsi bahawa matlamat jangka masa panjang program ini adalah untuk melahirkan pemimpin yang mempunyai kebolehan dan komitmen untuk memperjuangkan kepentingan wanita di negeri Sabah.
Katanya, terdapat lima modul yang akan diketengahkan termasuklah kesedaran tentang gender, pembangunan, komunikasi strategik, pemerkasaan wanita dalam politik dan pelaksanaan aktiviti di kawasan mereka yang keseluruhannya akan menggunakan kaedah ‘participation and experiential learning’.
Para pelatih program GAP merupakan ahli pakar gender, pemimpin utama komuniti tempatan dan pertubuhan organisasi sivil.
Program ini sebahagiannya ditaja oleh Women’s Fund Asia di Colombo dan penganjur masih lagi mencari dana untuk modul praktikal yang akan diadakan pada September hingga oktober 2021.
SAWO menjemput individu atau organisasi yang ingin menyokong dan menyumbang dalam inisiatif ini serta menyertai kami dalam melakar masa depan yang lebih cerah kepada wanita, keluarga dan komuniti di Sabah.
Untuk maklumat selanjutnya boleh hubungi Amy Marcus (Liaison person untuk Program GAP) di sawo.women@yahoo.com / +60 11 27908020.