PETALING JAYA: Lebih 500,000 tuntutan diterima untuk kredit e-dompet ShopeePay bernilai RM150 pada hari pertama pelancaran program eBelia, kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, sambutan hangat itu diterima kerana penuntut yang berjaya bukan sahaja menerima kredit e-dompet RM150, malah mereka dijamin menerima baucar tambahan bernilai RM500, menjadikan jumlah ganjaran hingga RM650.
Baucar-baucar tambahan yang bernilai RM500 ini direka khas untuk menawarkan penjimatan yang lebih tinggi bagi golongan belia untuk produk seperti alat pembelajaran untuk pelajaran atau barangan keperluan rumah serta barangan runcit bagi mereka dan seisi keluarga.
Ketua ShopeePay Malaysia, Alain Yee berkata, pihaknya berbesar hati kerana diberi peluang untuk bekerjasama dengan Kementerian Kewangan sebagai satu daripada platform e-dompet rasmi bagi program eBelia.
Ujarnya, perkara ini selari dengan usaha berterusan Shopee untuk mengembangkan ekonomi digital Malaysia.
“Walaupun eBelia diumumkan sebagai program bantuan untuk meringankan beban kewangan golongan belia di Malaysia dan menggalakkan perbelanjaan tanpa tunai, kami percaya program ini akan memainkan peranan yang lebih besar untuk menjana aktiviti ekonomi dan jualan bagi para peniaga tempatan secara serentak.
“Program ini telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan setakat ini. Dengan lebih ramai pengguna menyertai ekosistem perbelanjaan tanpa tunai, perniagaan-perniagaan seperti kedai serbaneka dan peniaga kecil juga akan sedar tentang keperluan untuk menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai dalam operasi mereka agar mereka tidak ketinggalan,” katanya dalam kenyataan.
Selain daripada ganjaran tunai lumayan yang akan diberikan, 20,000 penuntut terawal eBelia ShopeePay akan menerima pulangan tunai tambahan sebanyak RM5 dengan perbelanjaan minimum RM10 apabila mereka mengimbas kod QR DuitNow e-dompet atau bank lain untuk membuat pembayaran.