KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan sebanyak 203 kes positif baharu Covid-19, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 63,019 kes, dan tujuh kes kematian pada hari ini.
Daripada tujuh kes tersebut, dua kes di daerah Sandakan, manakala satu kes masing-masing di Kota Kinabalu, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.
Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 201 menjadikan jumlah kumulatif 60,366 orang.
Seramai 1,734 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 460 orang di hospital dan 1,274 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam.
Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 77 orang dan 21 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).
Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata dalam kenyataan medianya, jumlah kes positif Covid-19 di Sabah pada hari ini mencatatkan penurunan sebanyak 51 kes iaitu daripada 254 kes kelmarin (2 Jun 2021) kepada 203 kes (3 Jun 2021).
Katanya, daripada 203 kes jangkitan baharu hari ini, 121 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 21 kes adalah daripada saringan kluster, 43 kes adalah daripada saringan bergejala, enam kes daripada saringan bersasar dan 12 kes adalah daripada lain-lain kes.
“Dua belas daerah mencatatkan penurunan kes, di mana sembilan daerah mencapai penurunan kes dengan julat satu angka manakala tiga daerah lagi menunjukkan penurunan pada julat dua angka iaitu Kunak (-35), Sandakan (-23) dan Lahad Datu (-12).
“Walau bagaimanapun, terdapat sembilan daerah yang mencatatkan peningkatan kes hari ini pada julat satu angka. Daerah Keningau kekal catatan kes baharu sebagaimana hari kelmarin iaitu dengan dua kes,” katanya.
Pada hari ini, enam daerah mencatatkan sifar kes iaitu Beluran, Tongod, Pitas, Sipitang, Tenom dan Tambunan.
“Sabah mengalami trend penurunan sebanyak dua hari berturut-turut.
“Sungguhpun begitu, daerah-daerah yang berzon hijau kini telah berkurangan daripada sebelumnya menandakan adanya jangkitan baru sebagai tanda kebarangkalian berlakunya ketidakpatuhan SOP yang telah digariskan,” latanya.
Keberkesanan penurunan kes dalam membendung penularan pendemik Covid-19 ini sangat bergantung kepada sejauh mana kesungguhan komuniti dalam pematuhan SOP kendiri dan SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri, tambahnya.
Terdapat satu kluster baharu direkodkan hari ini, iaitu
Kluster Jalan Coastal Sembulan Kota Kinabalu yang melibatkan kakitangan syarikat konsesi parkir, Secure Parking dekat Riverson Sembulan di ibu negeri.
Masidi berkata kluster indeks merupakan lelaki, 38, juruteknik di syarikat terbabit telah bergejala sejak 25 Mei 2021, sebelum disahkan positif pada 27 Mei 2021 oleh Klinik Kesihatan Luyang.
Katanya, susulan kes itu, hasil saringan kontak mendapati enam lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif klusteri ini sebanyak tujuh kes, termasuk satu kes di Papar dan enam kes di Kota Kinabalu.
Berdasarkan siasatan awal, penularan jangkitan COVID-19 berkemungkinan merebak di kawasan tempat kerja, kata Masidi, sambil menambah pasukan kesihatan kini giat menjalankan aktiviti pengesanan kontak dan punca jangkitan.