Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
PUTRAJAYA: Kerajaan masih mempunyai peruntukan dan program kewangan bernilai keseluruhan RM305 bilion bagi memulihkan ekonomi negara dan mengharungi impak Covid-19 sehingga akhir tahun ini.
Laporan Utusan Malaysia, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peruntukan itu tidak termasuk Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) Tambahan diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.
Beliau berkata, daripada peruntukan itu, RM205 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan Belanjawan 2021.
“Tanpa mengira peruntukan RM40 bilion menerusi PEMERKASA Tambahan, kerajaan masih ada peruntukan lebih RM100 bilion untuk dibelanjakan sehingga akhir tahun ini,” katanya menerusi sesi taklimat khas kepada media secara dalam talian hari ini.
Katanya, antara langkah Belanjawan 2021 yang sedang dilaksanakan adalah bantuan kebajikan kepada rakyat yang dinaikkan daripada RM1.5 bilion pada 2020 kepada RM2.2 bilion.
Tengku Zafrul berkata, Jalinan Digital Negara (JENDELA) juga sedang dilaksanakan dengan peruntukan RM500 juta yang antara lainnya melibatkan sambungan fiber untuk sekolah.
Selain itu katanya, program lain yang dibiayai perbelanjaan pembangunan (DE) Belanjawan 2021 termasuk Dana Kredit Mikro sebanyak hampir RM1 bilion dan penyelenggaraan sekolah.
“Sejak Mac 2020 hingga Mac lalu, kerajaan sudah mengumumkan enam pakej rangsangan ekonomi bernilai RM340 bilion bagi menangani cabaran kesihatan dan ekonomi yang dihadapi negara ketika ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Tengku Zafrul berkata, pihaknya mengakui pertumbuhan ekonomi akan terkesan susulan pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi bermula 1 hingga 14 Jun ini.
“Ia bagaimanapun masih di peringkat awal dan kami sedang mengkaji kesannya terhadap pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Justeru katanya, pihaknya mengkaji untuk menyemak semula sasaran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan kadar defisit bagi tahun ini.
“Semakan semula KDNK itu pasti akan memberi kesan kepada paras defisit negara. Angka KDNK negara sudah pasti akan terkesan oleh penutupan banyak industri seperti yang diumumkan oleh kerajaan,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan menjangkakan ekonomi negara akan mencatatkan pertumbuhan antara 6.0 peratus dan 7.5 peratus pada tahun ini.
Ia juga sejajar dengan unjuran Bank Dunia sebanyak 6.0 peratus dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebanyak 6.5 peratus.