KOTA KINABALU: Kerajaan persekutuan harus membenarkan program imunisasi Covid-19 kerajaan dan swasta bergerak serentak, termasuk di Sabah, agar sasaran imuniti kelompok di negara ini dapat dicapai dengan lebih cepat, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Laporan Harian Ekspress, Ini penting khususnya sekarang dengan kemunculan varian Covid-19 yang membimbangkan (VOC), yang lebih berbahaya daripada sebelumnya, katanya.
“Lebih baik benarkan (program imunisasi kerajaan dan swasta) bergerak serentak kerana program kerajaan bergerak amat perlahan.
“Saya juga pernah dihubungi ramai dari sektor swasta, di samping syarikat berkaitan kerajaan (GLC), yang bertanya bagaimana untuk mendapat vaksin.
“Saya hanya dapat menjawab bahawa kita perlu bertanya kepada kerajaan persekutuan kenapa program imunisasi swasta tidak bergerak.
“Di Filipina, di Thailand sudah lakukannya (penjualan vaksin oleh sektor swasta), kenapa di Malaysia terlalu ‘slow’?,” katanya pada sidang media di kediamannya di Damai, di sini, Selasa.
“Kenapa hak rakyat Sabah dinafikan? Kami berhak menuntut vaksin, kerana kami bayar bukan minta percuma.
“Jadi saya berharap kepada pihak berkaitan seperti Kementerian Kesihatan (KKM) yang bertanggungjawab atas Program Imunisasi Kebangsaan dan menteri bertanggungjawab terhadap vaksin iaitu Khairy Jamaluddin, supaya mendengar suara orang Sabah,” kata Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Adun Lamag itu.
Terdahulu, Menteri Kerja Raya itu berkata beliau setuju dengan langkah yang diambil oleh kerajaan persekutuan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya (total lockdown) agar keselamatan, kesihatan dan nyawa rakyat dapat dipelihara.
“Bagaimanapun, PKP sahaja sia-sia jika tiada tindakan susulan yang dirancang secara strategik.
“Di Sabah kita mempunyai 3.89 juta penduduk tetapi sekarang ini hanya kira-kira 130,000 orang yang sudah divaksin.
“Ini bermakna masih ramai yang terdedah kepada jangkitan Covid-19.
“Dengan itu, selaku pemimpin di negeri ini, saya meminta kerajaan persekutuan membekalkan vaksin kepada Sabah menerusi Pharmaniaga iaitu syarikat yang dilantik kerajaan persekutuan untuk membekalkan vaksin kepada sektor swasta.
“Pharmaniaga sudah mempunyai lebih lapan juta dos vaksin dan Sabah melalui Warisan Harta Sabah, yang dilantik untuk mendapatkan vaksin Covid-19, telah memohon 300,000 vaksin untuk diedar atau dijual kepada klinik swasta dan lain-lain,” katanya, sambil meminta kerajaan persekutuan tidak terlalu ketat dalam memberi vaksinasi kepada rakyat.
“Kita melihat bagaimana negara lain seperti Amerika, Eropah, China dan Thailand yang tidak terlalu ketat mengenai vaksinasi. Mereka pergi ke kampung mendaftar rakyat secara manual dan sebagainya…kerana misi mereka adalah memberikan vaksin kepada seberapa ramai rakyat mereka yang mungkin.
“Tetapi kita di Malaysia, MySejahtera lah, itulah, inilah, tetapi tidak juga bergerak.
“Mengikut perkiraan saya, mungkin hanya antara 30,000 hingga 50,000 rakyat Malaysia menerima vaksin setiap hari.
“Kalau begini, jika kita kali 25 juta, ia bermakna kita akan memerlukan bertahun-tahun untuk melengkapkannya, sementara pandemik Covid-19 sudah berada dalam masyarakat dan amat membimbangkan sekarang ini dengan kemunculan VOC.
“Kita perlu menanganinya dengan bijak. Sebab itulah saya menggesa kerajaan persekutuan, khususnya menteri bertanggungjawab, untuk faham bahawa Sabah memerlukan vaksin dari Pharmaniaga…benarkan Pharmaniaga menjual vaksinnya kepada Kerajaan Negeri Sabah.
“Kerana Sabah tidak mampu dilanda VOC, dengan fasiliti kesihatan kita yang tidak mencukupi dan semua petugas barisan hadapan kita keletihan.
“Sebab itulah, pilihan terbaik adalah dengan memberikan vaksinasi kepada rakyat dengan vaksin sedia ada,” kata Bung.