KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan sebanyak 254 kes positif baharu hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 62,816 kes.
Dua kes kematian juga direkodkan, iaitu satu kes di daerah Kota Kinabalu dan satu kes lagi di Kinabatangan.
Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 213, menjadikan jumlah kumulatif 60,165 orang.
Seramai 1,604 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 451 orang di hospital, 1,151 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara dua orang.
Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 75 orang dan 24 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).
Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun , berkata jumlah kes positif COVID-19 di Sabah pada hari ini mencatatkan penurunan sebanyak 64 kes, iaitu daripada 318 kes kelmarin (1 Jun 2021) kepada 254 kes (2 Jun 2021).
Katanya daripada 254 kes jangkitan baharu hari ini, 184 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 20 kes adalah daripada saringan kluster, 36 kes adalah daripada saringan bergejala, enam kes daripada saringan bersasar dan lapan kes adalah daripada lain-lain kes.
“12 daerah di Negeri Sabah mencatatkan penurunan kes, di mana sembilan daerah mencapai penurunan kes dengan julat satu angka manakala tiga daerah lagi menunjukkan penurunan pada julat dua angka, iaitu Tawau (-44), Lahad Datu (-21) dan Tuaran (-18),” katanya.
Walau bagaimanapun, terdapat 11 daerah yang mencatatkan peningkatan kes hari ini dengan lapan daerah mencatatkan peningkatan kes pada julat satu angka, manakala tiga lagi daerah lain mencatatkan peningkatan kes pada julat dua angka, iaitu Sandakan 29 kes (+24), Kota Kinabalu 31 kes (+14) dan Kunak 40 kes (+11).
“Daerah Beaufort kekal catatan kes baharu sebagaimana hari kelmarin iaitu dengan enam kes,” katanya dalam kenyataan medianya hari ini.
Pada hari ini, tujuh daerah mencatatkan sifar kes iaitu Beluran, Tongod, Pitas, Ranau, Kuala Penyu, Sipitang dan Nabawan.
“Perubahan angka setiap hari bagi setiap daerah adalah tidak statik.
“Sungguhpun tujuh daerah mencatat sifar kes pada hari ini, bilangan daerah yang berzon hijau berkurangan kepada tiga, menandakan terdapat kebarangkalian berlakunya ketidakpatuhan SOP yang telah digariskan.
“Keberkesanan penurunan kes dalam membendung penularan pandemik COVID-19 ini sangat bergantung kepada sejauh mana kesungguhan komuniti dalam pematuhan SOP kendiri dan SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri,” katanya.