KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri, melalui Kementerian Kerajaan Tempatan Dan Perumahan, telah mengarahkan semua ketua kampung untuk membuat pemantauan dalam kawasan pentadbiran kampung masing-masing, demi membendung penularan Covid-19 di Sabah.
Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata arahan ini selaras dengan kuasa yang diberikan kepada ketua kampung di bawah Ordinan Pentadbiran Luar Bandar Sabah Bab 132.
Katanya, semua ketua kampung hendaklah menjalankan kewajipan dan tugas-tugas di dalam pentadbiran kampung seperti memaklumkan kepada Mayor Bandaraya Kota Kinabalu/ Presiden Majlis Perbandaran Tawau/ Presiden Majlis Perbandaran Sandakan/ Pegawai Daerah/ Penolong Pegawai Daerah Pejabat Daerah Kecil dengan serta merta jika berlaku
penularan wabak penyakit Covid-19 di dalam kampung, jika berlaku kematian dan jika ada penduduk kampung atau orang yang berada dalam kampung melakukan atau cuba melakukan atau dengan niat melakukan kesalahan yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara yang menjadi kesalahan di bawah Akta 342.
Selain itu, mereka juga perlu mengambil langkah mengawal pergerakan kemasukan orang luar ke dalam kawasan kampung. Semua maklumat orang luar yang masuk dan keluar dari kampung hendaklah direkodkan.
“Kerjasama dan tanggungjawab semua Ketua Kampung amat diperlukan demi untuk membantu Kerajaan dalam mengawal penularan penyakit COVID-19 ini yang semakin serius,” katanya dalam kenyataan medianya semalam.