PENAMPANG: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor, berharap Pesta Kaamatan ini akan terus memangkin semangat, inspirasi dan kekuatan kepada semua rakyat untuk terus bersatu memantapkan perpaduan.
Ini bagi menjamin kestabilan, keamanan dan kemakmuran rakyat Malaysia khususnya rakyat di negeri ini, katanya sempena Penutupan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2021 di Hongkod Koisaan di sini hari ini.
“Kita bersyukur walaupun negeri kita masih dilanda dengan penularan virus Covid-19, kita dapat bersama-sama dalam suasana sederhana tetapi meriah. Saya gembira melihat penglibatan dan sokongan pelbagai pihak dan lapisan rakyat yang terus menjadikan Pesta Kaamatan sebagai teras keharmonian dan platform penyatu rakyat di negeri ini.
“Hari ini, pelbagai kaum dan etnik mengambil kesempatan untuk meluangkan masa bersama rakan taulan dan keluarga tercinta untuk sama-sama meraikan Pesta Kaamatan. Di sini, saya menyeru agar kita semua terus berwaspada dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) supaya dapat melawan pandemik Covid-19,” he said.
Hajiji berkata Pesta Kaamatan adalah perayaan yang diraikan setiap tahun dengan masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) dan komuniti etnik lain sebagai tanda kesyukuran dengan hasil tuaian yang melimpah.
“Tetapi apa yang lebih penting, perayaan selama sebulan ini mampu menyatukan kita semua tanpa mengira latar belakang bangsa, agama dan budaya, untuk semua berkat yang kita terima.
“Pesta Kaamatan bukan sahaja perayaan yang mengerat dan mengukuhkan ikatan kekeluargaan dan persahabatan tetapi Ia mengajar kita tentang peri pentingnya perpaduan yang erat sebagai teras dalam meningkatkan dan memperkukuhkan lagi keamanan di negeri Sabah yang kaya dengan kepelbagaian suku kaum, etnik dan budaya,“ katanya.
“Perayaan ini adalah sebagai acara kebudayaan dan kesenianan yang sekian lama menjadi tembok kita dalam memelihara hubungan silaturahim yang telah lama kita terapkan.
“Sudah menjadi asas kita bahawa kepelbagaian itu bukanlah sesuatu yang dijadikan pengukur untuk melihat perbezaan diantara kita sebagai rakyat di negeri Sabah ini. Sebenarnya, perpaduan dalam kepelbagaian menjadikan kita lebih kuat, menghargai kepelbagaian dalam setiap etnik,” katanya.
Berikutan pandemik COVID-19 ini, Hajiji menyeru semua untuk bersama-sama memberi tumpuan untuk mendukung setiap usaha bagi memastikan rakyat pulih daripada kesukaran ekonomi yang dihadapi.
“Kerajaan negeri Sabah sentiasa berusaha memastikan pelan pembangunan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk membawa pembangunan dan kesejahteraan kepada rakyat dan negeri ini.
“Justeru, ketika kita merayakan Pesta Kaamatan hari ini, saya menggesa kita semua agar sentiasa waspada terhadap mana-mana usaha untuk mengagalkan dan memecahbelahkan usaha ini.”
Hajiji juga menyeru seluruh rakyat di negeri Sabah untuk sentiasa bersama-sama dengan Kerajaan demi kesejahteraan dan kemajuan di negeri ini.
“Marilah kita memberi sokongan padu kepada Kerajaan agar usaha untuk membangun dan memajukan negara dan negeri akan dapat dilaksanakan dengan jayanya,“ katanya.
Penutupan Perayaan Pesta Kaamatan tahun ini disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.