Datuk Mohamad Ali Hasan
PETALING JAYA: Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) serta Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru) bersetuju Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diteruskan namun ia perlu dilihat kepada situasi semasa.
(Menurut laporan Utusan Malaysia) Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presidennya, Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, ini kerana situasi pandemik Covid-19 semakin meruncing dan tidak ada tanda-tanda pengurangan kes positif ketika ini.
“Ditambah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) agak lambat dan kemunculan varian baharu yang lebih ganas berleluasa serta ketiadaan keutamaan diberi kepada warga pendidik, jadi adalah wajar PdPR diteruskan buat masa ini,” katanya ketika dihubungi semalam.
Tambah beliau, pihaknya juga menyokong cadangan supaya pelajar-pelajar yang bakal mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengikuti pembelajaran secara bersemuka.
“Ini bagi mengelak tiada lagi isu seperti tahun sebelumnya di mana para pelajar terpaksa menangguhkan peperiksaan tersebut,” katanya.
Semalam akhbar melaporkan kerajaan wajar mempertimbang dan membenarkan pelajar tingkatan empat dan lima yang bakal menduduki
SPM ke sekolah jika sesi PdPR dilanjutkan sehingga Ogos ini.
Bagaimanapun, bagi murid sekolah rendah dan pelajar tingkatan satu hingga tiga, mereka boleh terus mengikuti proses PdPR sehingga Ogos atau hujung tahun ini.

Mohd. Azizze Hasan
Dalam pada itu, Presiden Ikatan Guru Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizze Hasan berkata, pihaknya bersetuju murid yang menduduki peperiksaan memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka dengan mengambil kira aspek situasi semasa.
“Namun, ia perlu diambil mengikut nasihat dan kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Pendidikan dan mungkin ia boleh dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan kawasan hijau dahulu,” katanya.
Bagaimanapun katanya, kementerian perlu menyediakan pelan kontigensi jika tempoh persekolahan dikekalkan secara PdPR.
Dalanm pada itu mengulas isu lain, Mohd. Azizze berkata guru dan pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam perlu diberikan suntikan vaksin Covid-19 sebelum membenarkan mereka kembali ke sekolah untuk belajar secara bersemuka.
Ini kerana, berdasarkan kes harian wabak pandemik itu, adalah mustahil untuk membenarkan mereka kembali ke sekolah walaupun terlibat dengan peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Walau bagaimanapun, pelajar perlu hadir ke sekolah supaya dapat membuat persediaan sebelum menghadapi peperiksaan berikutan terdapat segelintir yang ponteng sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang dijalankan secara dalam talian.
Mohd. Azizze berkata, pemberian vaksin kepada guru sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kebimbangan ibu bapa dan penjaga untuk membenarkan anak mereka.
Katanya, lebih baik juga jika kerajaan memberi pertimbangan untuk memberi vaksin kepada pelajar Tingkatan 5 memandangkan usia mereka sudah menghampiri 18 tahun dan dalam masa sama perlu hadir ke sekolah untuk membuat persediaan menghadapi SPM.
“Vaksinasi perlu diberikan kepada semua warga pendidik. Apabila diberikan kepada semua warga pendidik, tanpa mengira berisiko ataupun tidak, ia akan jadi lebih selesa dan selamat untuk membuka sekolah,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Selain guru katanya, vaksin juga perlu diberikan kepada kakitangan bukan guru seperti kerani, pembantu makmal serta pengusaha bas.
“Sebab kalau mereka ini tidak dilibatkan sama, jangkitan tetap boleh berlaku,” ujarnya.