Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee
PETALING JAYA : Sebanyak antara 100,000 hingga 150,000 tan metrik beras diperlukan dalam tempoh 14 hari pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (total lockdown).
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, bagaimanapun bekalan keperluan dapat ditampung berdasarkan kedudukan stok beras semasa sebanyak 764,000 tan metrik pada masa ini yang berada di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit.
Sehubungan itu katanya, kementerian juga akan memastikan proses penanaman dan operasi kilang padi serta beras dilaksanakan pada kadar dibenarkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Ini termasuk kebenaran pengedaran input pertanian seperti baja, benih padi dan penggunaan jentuai di sepanjang tempoh tersebut. Penanaman dan penuaian padi pada masa ini sedang berjalan di beberapa negeri seperti di Pulau Pinang, Perak,Pahang, Kelantan dan Terengganu.
” Pengedaran beras diperingkat pemborong dan peruncit juga dibenarkan untuk beroperasi mengikut SOP ditetapkan MKN bagi memastikan setiap daerah dan kawasan tidak terjejas bekalan makanan utama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Ronald berkata, stok semasa bekalan ikan negara berjumlah 185,000 tan metrik sebulan berbanding keperluan semasa sebanyak 155,000 tan metrik sebulan.
“Sejumlah 89 Pasar Nelayan dan 33 buah Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Ikan (CCDC) masih beroperasi di seluruh negara sepanjang tempoh PKP penuh,” jelasnya.
Berkenaan data bekalan komoditi ternakan, Ronald berkata, bekalan daging, ayam, telur dan susu juga mencukupi untuk keperluan negara.
“Untuk bulan Jun ini, bekalan daging lembu dan kerbau adalah dianggarkan sebanyak 22,590.58 tan metrik manakala bekalan daging ayam adalah sebanyak 125,067.61 tan metrik.
“Bekalan telur ayam untuk bulan Jun ini pula dianggarkan sebanyak 976,847,250 biji dan bekalan susu segar adalah sebanyak 4,147,608.10 liter,” katanya.
Tambah Ronald, kementerian menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membuka 43 lokasi Pasar Segar Terkawal (PST) di seluruh negara yang terdiri dari 24 buah Pasar Tani Kekal, tiga buah MyFarm Outlet, 14 buah Pusat Operasi FAMA dan dua buah Agrobazaar berbanding 63 lokasi yang telah dibuka semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lalu.
“ Pengurangan ini disebabkan pelaksanaan SOP yang diperketatkan oleh MKN bagi menangani penularan gelombang ketiga Covid-19 yang kian meningkat.
“ Bagi melancarkan semua aktiviti, pemain industri dan usahawan yang terbabit dalam rangkaian dan rantaian sektor berkaitan dinasihatkan untuk berhubung dengan jabatan atau agensi bawah kementerian bagi mendapatkan surat pengesahan,” jelasnya.
Orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan kementerian di talian 03 88701664/1491 atau e-mel bilik gerakan@mafi.gov.my untuk mendapatkan sebarang maklumat atau penjelasan berkaitan sektor pertanian dan industri makanan.
Selain itu orang ramai juga boleh mengakses laman web kementerian iaitu www.mafi,gov.my untuk mendapatkan maklumat berkaitan aktiviti, pengoperasian dan SOP PKP penuh fasa pertama.