Jovinah
RANAU: Kejayaan Ranau, yang merupakan daerah persinggahan mereka yang bergerak antara daerah-daerah di Pantai Barat dan Pantai Timur, mengekalkan status Zon Hijau (sifar kes Covid-19) amat membanggakan dan harus dipertahankan.
Caranya amat mudah, iaitu dengan mematuhi nasihat-nasihat berguna dan SOP yang dikeluarkan oleh Kerajaan.
“Dengar dan patuhi segala arahan Kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19,” kata salah seorang beliawanis dari Kg.Malinsau Ranau, Jovinah Binti Joiny.
Dia berkata, apapun usaha Kerajaan bagi memutuskan rantaian pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan masyarakat antarabangsa, perlu dipatuhi agar tidak menjangkiti rakyat negara ini.
“Kita khuathir dengan kealpaan masyarakat negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan fahaman politik akan dijangkiti wabak yang sukar dilihat dengan mata kasar kita, jika tidak akur dengan arahan Kerajaan bagi mematuhi SOP yang ditetapkan”, jelas Jovinah.
Reaksinya terhadap perkembangan jumlah bilangan kes jangkitan Covid-19 di Sabah dan seluruh negara yang menunjukkan peningkatan, dia berkata pematuhan SOP seperti mengamalkan penjarakan fizikal satu meter antara individu,.memakai pelitup separuh muka, kerap membasuh tangan dengan air sabun atau sanitizer dan tidak mengunjungi kawasan sesak dengan ramai orang adalah antara SOP yang patut dipatuhi oleh semua orang.
“Jangan leka atau lalai dengan pematuhan SOP yang dikuatkuasakan, meskipun kita sudah menerima dua suntikan Vaksin Covid-19”, tambahnya.
Dia turut memaklumkan kepada rakan-rakannya bahawa suntikan vaksin Covid-19 itu walaupun sudah lengkap dua kali suntikan, namun bukanya sebagai ubat sebaliknya hanyalah sebagai antibodi untuk mengekang daripada jangkitan Covid-19.