Hj. Ruslan Muharam (berdiri) melawat Kasturi selepas menerima rawatan
BEAUFORT: Jabatan Hidupan Liar Beaufort diminta untuk menangkap buaya – buaya yang terdapat di Sungai Gadong Laut Bintuka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, YB Hj. Ruslan Muharam berkata penangkapan berkenaan perlu dilakukan dengan kadar segera.
Hj. Ruslan yang juga Pengerusi Perkasa Realty ini juga berkata perkara ini harus dipandang serius dan semua pihak perlu bekerjasama menangani masalah ini sebelum lebih ramai lagi penduduk kampung menjadi mangsa.
Satu arahan dikeluarkan berikutan kejadian yang melibatkan seorang penduduk kampung, Kasturi Alang, 54, yang diserang buaya ganas pada jam 4 petang Jumaat.
Kasturi mengalami kecederaan di bahagian belakang dan bahu kanan.
Menurutnya, beliau diserang dari belakang ketika sedang mencari siput di sungai.
Pergelutan berlaku dan dia berjaya menyelamatkan diri apabila dapat naik ke tebing sungai.

Pasukan perubatan memberikan rawatan kepada Kasturi akibat kecederaan diserang buaya
“Kini, Kasturi sudah berada di rumahnya dan beliau berada dalam keadaan stabil,” kata Hj. Ruslan selepas membuat kunjungan di rumah Kasturi.
Sungai Gadong Laut Bintuka adalah sumber ekonomi penduduk kampung berkenaan untuk mendapatkan hasil-hasil makanan seperti siput, ikan, lokan, ketam dan udang.
“Namun demikian, saya ingin menasihati penduduk kampung supaya berhati-hati ketika melakukan aktiviti di sungai.