KOTA KINABALU: Empat kes kematian akibat daripada COVID-19 dicatatkan hari ini di Sabah sementara kes baharu wabak berkenaan adalah sebanyak 265.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, dengan kes baharu berkenaan, ia sekaligus menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 61,847 kes.
Katanya, empat kes kematian direkodkan hari ini iaitu dua di daerah Kota Belud, satu di Kuala Penyu dan satu di Kota Kinabalu.
Jelasnya lagi, terdapat satu kluster baharu direkodkan melibatkan seorang pemandu Grab yang juga bilal di Masjid Al Falah Kepayan
“Kluster Patuma di Kota Kinabalu mula direkodkan pada 18 Mei 2021 menerusi saringan bergejala di klinik swasta.
“Susulan kes itu, pasukan kawalan bertindak pantas dengan menjalankan saringan kontak dan mendapati 10 lagi kes positif, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 11 kes.
“Berdasarkan siasatan awal, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan daripada jemaah yang gagal mematuhi SOP ketat sepanjang berada di masjid terbabit,” katanya ketika dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambahnya, potensi penularan juga disumbang oleh segelintir jemaah yang masih hadir ke masjid walaupun mempunyai gejala. Setakat hari ini, 133 sampel pertama telah diambil dan 33 sampel lagi masih belum selesai.
Sementara itu Masidi berkata, Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Padawan, Papar, Sabah berkuat kuasa 31 Mei sehingga 13 Jun 2021 selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.
Kerajaan Negeri juga bersetuju melaksanakan PKPD di Felda Sahabat 40 (Kampung Kembara Sakti), Mukim Tungku, Lahad Datu, Sabah berkuat kuasa 31 Mei sehingga 13 Jun.
“Dalam pada itu, Kerajaan Negeri bersetuju melanjutkan PKPD di Kampung Sungai Langgas, Kunak bermula 31 Mei sehingga 13 Jun 2021,” tambahnya lagi.