KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor, berkata Kerajaan Negeri juga memutuskan untuk melaksanakan “total lockdown” di negeri Sabah kerana langkah ini diperlukan untuk membendung peningkatan jangkitan COVID-19 di negeri ini
Katanya, Kerajaan Negeri menyambut baik pengumuman YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan melaksanakan total lockdown selama dua minggu mulai 01 hingga 14 Jun 2021 sesuai dengan keputusan Majlis Keselamatan Negara pada petang Jumaat.
Sektor ekonomi dan Perkhidmatan Perlu (essential economic and service sector) yang dibenarkan akan diumum dalam SOP yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat, katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan malam Jumaat.
Terdahulu, Jurucakap Pengurusan COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, MKN merupakan pembuat keputusan tertinggi dan arahan itu terpakai di Sabah.
“MKN adalah pembuat keputusan tertinggi kecuali ada dikhususkan (kepada negeri-negeri). Namun, kenyataan itu terguna pakai di seluruh negara,” katanya ringkas ketika dihubungi Jumaat.
Lewat petang Jumaat, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 hingga 14 Jun 2021.