Datuk Rubin Balang
TENOM.: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Datuk Rubin Balang mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor serta Kerajaan negeri atas keprihatinan kerana sudi melawat sendiri dan mendengar taklimat Jawatankuasa Bencana Banjir Daerah Tenom yang dihadapi oleh masyarakat di sini baru – baru ini.
Dia juga turut mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah , Datuk Seri Safar Untong, dan Pengarah Hal Ehwal Dalam Negeri Sabah, Tuan Awang Shahminan, serta Pesuruhjaya Polis Negeri Sabah (PDRM) Datuk Hazani Ghazali dan Timbalan Ketua Polis Sabah, DCP Datuk Mazli Mazlan, dan Sabah Air kerana membekalkan helikopter bagi membantu menghantar bantuan makanan kepada mangsa banjir melalui udara di kawasan ini.
Pada masa ini, kesemua Pusat Penampatan Sementara (PPS)Tenom telah ditutup sepenuhnya tetapi Rubin menyarankan kepada semua penduduk di sini agar terus mengambil langkah berjaga-jaga dan berwaspada kerana keadaan cuaca pada masa ini masih tidak menentu.
Walaupun semua PPS telah di tutup, dia memohon kepada ketua-ketua jabatan yang terlibat agar melaksanakan peranan dan tugas masing-masing dengan serius bagi memulihkan aset-aset dan prasarana di kawasan yang terjejas oleh bencana banjir.
Katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Air Sabah (JAS) harus melaksanakan tugas pemulihan secara bersungguh-sungguh supaya jalanraya dan bekalan air kepada mangsa serta penduduk kampung yang terjejas dapat di pulihkan secepat mungkin.
Dia memohon agar JKR dan Majlis Dearah memeriksa keadaan Jambatan Tenom lama dan Jambatan Kampung Binai bagi memastikan samaada ia selamat atau tidak untuk digunakan oleh penguna.
“Pemimpin – pemimpin masyarakat perlu membuat pemeriksaan jalan-jalan kampung kerana didapati banyak jalanraya yang rosak teruk.
“Oleh kerana ini juga, JKR digesa agar segerakan pembaikan supaya penduduk kampung dapat menggunakannya untuk ke kebun- kebun pertanian mereka,” katanya.
Rubin juga meminta Jabatan Pertanian agar memberi perhartian khusus kepada petani-petani yang terjejas di mana hasil pertanian mereka musnah akibat bencana banjir.
Bagi rumah-rumah yang hanyut atau rosak teruk, katanya, sepertimana yang disarankan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, UPPM harus menyiapkan laporan mereka dan menghantar terus kepada Pengerusi Jawatankuasa Bencana Banjir Daerah serta kepada penolong pegawai dearah bahagian pembangunan Tenom untuk tindakan lanjut.
Ini termasuklah masjid-masjid, gereja dan tokong-tokong yang mengalami kerosakan dan harus diberikan perhatian.
Rubin memohon dan mengharapkan kerajaan agar dapat membantu usaha pemulihan prasarana dan bantuan mangsa banjir dapat di salurkan dengan secepatnya.
Rubin turut mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Bencana Daerah dan Jabatan yang terlibat, Rela, Bomba dan Penyelamat, Jepam dan individu yang turut memberi bantuan dan kerjasama semasa dan selapas bencana banjir.