PUTRAJAYA: Malaysia terus mencipta rekod baharu kes positif Covid-19 yang tertinggi dengan menghampiri 8,000 kes iaitu 7,857 kes sekali gus mengatasi 4,598 kes sembuh manakala Selangor kekal menjadi penyumbang terbesar iaitu 2,675 kes.
Menurut Utusan Malaysia, sebanyak 59 kematian manakala kes aktif menunjukkan peningkatan iaitu 69,408 kes berbanding semalam, 66,208 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 771 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 392 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Katanya, selain Selangor yang terus merekodkan kes tertinggi terdapat empat negeri mencatatkan kes melebihi 500 kes iaitu Sarawak, 772 kes; Kelantan, 754 kes; Kuala Lumpur, 561 kes dan Johor, 549 kes.
“Lapan negeri merekodkan kes melebihi 200 kes iaitu Kedah, 441 kes; Pulau Pinang, 365 kes; Negeri Sembilan, 353 kes; Terengganu, 282 kes; Pahang, 238 kes; Melaka, 234 kes; Perak, 228 kes; Sabah, 217 kes.
“Bagi Labuan pula, ia merekodkan peningkatan kes mendadak dari hanya kes dua angka dan kini mencatatkan 170 kes manakala Putrajaya, 12 kes dan Perlis, enam kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.