Dr. Jeffrey menyerahkan replika cek kepada pemenang
KOTA KINABALU: Tradisi unik kaum Kadazan Dusun Murut (KDM) terus diterap generasi baharu dalam Pertandingan ‘Magagong’ dan Tarian Etnik Kreatif Baru serta Demonstrasi Makanan dan Minuman Tradisi di Dewan KadazanDusun Cultural Association (KDCA), Penampang yang berlangsung semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffery Kitingan berkata penglibatan golongan muda amat signifikan bagi mereka menghayati keistemewaan dan membangkitkan rasa cinta keatas budaya identiti bangsa mereka.
“Ini penting supaya tradisi dan budaya kita tidak lenyap dari kehidupan masyarakat dalam arus pemodenan yang semakin berleluasa,” katanya.
Pertandingan tersebut memberi platform kepada komuniti KadazanDusun menunjukkan kekayaan muzik melalui kepelbagaian paluan gong yang mengiringi tarian Sumazau atau Sumayau, tarian yang sangat popular di majlis – majlis dan keramaian di negeri Sabah.
Pertandingan Tarian Etnik Kreatif baharu pula sebuah program yang diperkenalkan untuk menonjolkan dinamik tarian tradisi tanpa merosakkan asas kesenian, sebaliknya menggalakan proses kreativiti bagi menaikkan tarian etnik ini ke suatu tahap bertaraf antarabangsa.
“Ia juga mampu menyatu padukan pelbagai kaum dan lapisan generasi masa kini, sangat bersesuaian dengan tema Pesta Kaamatan Tahun ini iaitu ‘Kaamatan Tanpa Sempadan Demi Keamanan dan Perdamaian’,” tambah beliau.
Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan berharap perkenalan pelbagai makanan dan minuman tradisi oleh masyarakat tempatan Sabah dapat meningkatkan kelestarian dan pengkomersilan makanan tradisi etnik khususnya di kalangan etnik Kadazan-Dusun di Sabah.
“Makanan tradisi adalah merupakan salah satu keistimewan dan daya tarikan pelancong yang terdapat di Negeri di Bawah Bayu ini, saya harap supaya makanan tradisi ini akan menjadi hidangan popular sehingga ke peringkat global.
“Kita akan mempamerkan makanan dan minuman etnik yang diperkenalkan oleh pelbagai suku kaum Kadazandusun yang terdapat di Rumah Rumah Tradisi di Koisaan Cultural Village, KDCA.
Makanan tradisi yang akan ditunjukkan, adalah dari suku kaum Kadazan – Penampang & Papar, Dusun Kuijau -Keningau, Bisaya – Beaufort, Lotud – Tuaran, Murut -Tenom, Tindal- Kota Belud, Bundu Liwan – Ranau dan Tambunan, Rungus – Tobilung Kudat/Kota Marudu dan Koisaan Cafe (12 suku kaum yang mengambil bahagian).
Katanya, menghadapai cabaran dan kekangan disebabkan pandemik yang melanda seluruh dunia tidak meruntuhkan semangat pesta Kaamatan dengan pertandingan atau rancangan secara maya yang sewaktu dengannya.
“Ini merupakan pendekatan baharu untuk merayakan Pesta Kaamatan sekaligus menjadi wadah menarik perhatian masyarakat seluruh dunia termasuk pelancong untuk melayari Kaamatan TV, laman web dan Facebook KCV/KDCA untuk berhibur dan menikmati program Kaamatan yang menarik.
Dalam pada itu, kumpulan Gentari dari SMK Lok Yuk menjohani kategori tarian manakala bagi magagung (paluan gong) dijuarai oleh kumpulan ‘Tinimungan Magagung Koidupan Doimpoipit’.
Pada masa yang sama anugerah khas Huguan Siou bagi koreographer terbaik juga dimenangi oleh SMK Lok Yuk dan anugerah Kumpulan Harapan dimenangi Perurum Dance Troupe.