Shahelmey di lokasi kebakaran Tg Aru
KOTA KINABALU: Penghalang pada pili bomba oleh penduduk Kampung Tanjung Aru Lama sini menyukarkan pihak bomba (JBPM) memadam api yang memusnahkan 33 buah rumah awal hari ini.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Shahelmey Yahya berkata perbuatan penduduk setempat itu menjejaskan keberkesanan operasi pemadaman api pada pukul 1 pagi tadi.
Beliau menasihatkan penduduk kampung-kampung di Sabah yang mempunyai pili bomba supaya menjaga dan tidak menghalangnya bagi memudahkan usaha memadamkan kebakaran jika berlaku.
“Pihak kerajaan dalam proses mengumpul data untuk melihat keadaan dengan lebih jelas dan seterusnya akan memberikan bantuan yang sewajarnya.
“Sebuah Pusat Penempatan Sementara (PPS) telah dibuka di Dewan Sembulan untuk menempatkan lebih 60 keluarga yang telah mendaftarkan diri.
“Bagi bantuan lain, satu tempat berdekatan dengan kawasan kebakaran sudah dikenalpasti untuk kemudahan keluarga terlibat,” katanya dalam lawatan ke lokasi pagi tadi.
Kebakaran pada jam 1.01 pagi hanya dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 4.30 pagi oleh seramai 24 anggota bomba yang dibantu pelbagai jentera bomba.
Minggu lalu kebakaran besar turut memusnahkan 35 buah rumah atas air di Kg Meruntum, Putatan.
Sementara itu, tenrang isu yang cuba dimainkan oleh pihak tertentu berkenaan mangsa kebakaran Kampung Meruntum tersebut yang berkata seolah kerajaan menghalau mereka keluar dari PPS Dewan Sri Serigai, Shahelmey berkata dia difahamkan sebenarnya tiada isu yang timbul dan hanya satu dua orang yang cuba membesarkan isu berkenaan.
“Dari awal pendaftaran sudah dimaklumkan tempoh untuk tinggal di dalam PPS dan kebanyakan mereka faham serta keluar dari PPS pada pagi Ahad lepas.
“Saya juga sudah berjumpa dengan mangsa yang terlibat untuk pemberian bantuan.
“Sepatutnya bantuan yang mereka perlu tunggu sekarang adalah proses bantuan kerajaan untuk membolehkan mereka bina semula rumah di kawasan yang kebakaran tersebut,” jelasnya.